Angkara pengering tangan di pusat beli-belah, budak lima tahun hilang jari


  • Benua
  • Ahad, 12 Dis 2021

JARI telunjuk kanak-kanak malang itu terpaksa dipotong selepas terkena bilah kipas alat pengering tangan. — Agensi

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kehilangan salah satu jari selepas terkena bilah kipas dalam alat pengering tangan tanpa penutup di sebuah pusat beli-belah di Singapura baru-baru ini.

Akibat kejadian di pusat beli-belah ION Orchard itu, sebahagian jari kanak-kanak malang tersebut terpaksa dipotong dan perlu menjalani rawatan di hospital selama lebih tiga hari sebelum dibenarkan keluar pada Jumaat lalu.

Menceritakan kejadian itu, bapa budak tersebut, Nick Chia berkata, kejadian itu berlaku pada 6 Disember lalu ketika anaknya, Kara menggunakan tandas di pusat beli-belah berkenaan.

"Dia ke tandas bersama pembantu rumah kami. Semasa dia membasuh, Kara berjalan untuk menggunakan alat pengering tangan.

"Dari sudut penglihatannya (Kara), dia boleh nampak bahagian bawah alat pengering tangan itu mempunyai lubang yang terlopong.

"Namun, dia mungkin menyangka alat itu merupakan tempat menyimpan tisu atau salah satu alat pengering tangan.

"Apabila dia memasukkan tangannya ke dalam alat itu, salah satu jarinya hancur disebabkan bilah kipas dalam alat berkenaan," katanya dalam catatan Facebook seperti dilaporkan CNA.

Menurut Nick lagi, pekerja teknikal dan kakitangan pengurusan berdepan kesukaran untuk mengeluarkan tangan anaknya kerana tidak dapat mencari kunci bagi membuka kabinet yang menempatkan alat pengering tangan itu.

"Mereka akhirnya menemui kunci untuk membuka bahagian bawah kabinet itu namun berdepan kesukaran untuk membuka bahagian atas pula. Mereka akhirnya dapat membuka kabinet tersebut dengan mengumpil keseluruhan kabinet," katanya.

Tambahnya, Kara segera dikejarkan ke Hospital KK Wanita dan Kanak-Kanak di mana sebahagian jarinya terpaksa dipotong kerana tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, jurucakap ION Orchard berkata, pihaknya menyesali kejadian itu dan pemeriksaan sewajarnya dijalankan segera selepas bagi memastikan kesemua alat pengering tangan beroperasi dengan selamat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram