LuqmanHzq teruja wakili Malaysia pada Sukan Olimpik


  • eSports
  • Sabtu, 04 Dis 2021

LUQMANHZQ (tiga dari kanan) memenangi tempat ketiga dalam kejohanan eMFL Liga Super 2020. — Ihsan GBX Esports

TEMASYA Sukan Olimpik yang berlangsung setiap empat tahun sekali sentiasa ditunggu-tunggu oleh atlet dan para peminat seluruh dunia.

Bagi para atlet sukan, temasya tersebut merupakan pentas untuk menonjolkan bakat dan kemampuan mereka kepada dunia.

Malahan sekiranya kejayaan berjaya diraih di pentas Olimpik, tentu menjadi satu momen indah dalam karier mereka bergelar seorang atlet.

Namun, berbeza senarionya bagi sukan elektronik atau e-sukan yang masih belum dijadikan sebagai acara rasmi Olimpik.

Bagi atlet e-sukan FIFA Malaysia, Muhamad Luqman Haziq Hajiman atau nama samarannya LuqmanHzq dalam kalangan peminat, sekiranya acara itu dipertandingkan dalam Olimpik, beliau berasa teruja untuk mewakili negara suatu hari nanti.

"Saya tidak sabar untuk bertanding dalam Sukan Olimpik, cuma tak tahu bila ia akan dipertandingkan. Namun sekiranya diizinkan ALLAH dan saya masih bertanding dalam e-sukan, jika diberi peluang, itu yang saya nantikan dalam karier e-sukan saya," katanya kepada Majoriti.

photo6104769259751189821

LUQMANHZQ mahu mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik suatu hari nanti. — Ihsan GBX Esports

LuqmanHzq yang baru berusia 24 tahun pernah mewakili FAM eRimau iaitu skuad FIFA kebangsaan di kejohanan FIFAe Nations Series 2021.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Universiti Malaya (UM) itu berhasrat untuk meneruskan kerjayanya dalam e-sukan jika industri tersebut mampu memberi 'jaminan' pada masa depan.

"Ketika ini, saya masih mempertimbangkan tentang perkara itu. Saya mahu tengok bagaimana e-sukan ini berkembang dan sekiranya ia menjamin masa depan, mengapa tidak meneruskannya.

"Namun, jika saya tidak rasa begitu selesa dan yakin dengan e-sukan, saya tahu saya boleh beralih karier dalam bidang lain iaitu kewangan. Bagaimanapun, saya akan melihat situasi e-sukan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, baru saya membuat keputusan," ujarnya lagi yang ketika ini mewakili pasukan GBX Esports.

photo6104769259751189814

LUQMANHZQ menjadi juara My E-Games Championship pada 2019. — Ihsan GBX Esports

LuqmanHzq turut menasihati mereka yang baru untuk berkecimpung dalam dunia e-sukan agar mempunyai pelan sandaran (backup plan).

"Tak salah nak mencuba kerana ia merupakan peluang di zaman teknologi ketika ini kerana e-sukan adalah masa depan dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

"Bagaimanapun, kita tidak tahu bila e-sukan akan betul-betul stabil, jadi pastikan anda mempunyai kerja tetap dan pendidikan. Kita kena berpijak di bumi yang nyata kerana bila-bila masa sahaja e-sukan boleh 'hilang'," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

LuqmanHzq, GBX Esports, e-sukan, Olimpik