Angkara Omicron, undang-undang untuk anti-vaksin semakin ketat


  • Benua
  • Jumaat, 03 Dis 2021

JERMAN kini menjadi negara paling rendah jumlah penduduk yang divaksinasi di barat Eropah. — Agensi
JERMAN akan memperketatkan larangan ke atas golongan anti-vaksin sebagai langkah untuk mengawal kenaikan kes Covid-19 terutamanya selepas dunia dilanda varian baharu, Omicron.

Kanselor Jerman, Angela Merkel berkata, kesemua pemimpin serantau juga sudah sepakat dengan idea tersebut untuk mengawal kadar jangkitan harian Covid-19.

"Setiap orang yang tidak divaksinasi dilarang untuk mengunjungi beberapa tempat kecuali kedai runcit dan farmasi.

"Hanya yang lengkap vaksinasi boleh mengunjungi kedai, restoran, muzium dan panggung wayang.

"Kelab malam akan ditutup khususnya di kawasan yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 melebihi angka 350," katanya.

Selain itu, kehadiran penonton di stadium juga dihadkan kepada 15,000 orang dan mereka yang tidak divaksinasi juga dilarang untuk bertemu sesiapa.

Jelasnya, penggunaan pelitup muka adalah diwajibkan untuk semua pelajar di sekolah.

"Kehadiran varian Omicron membuatkan kita rasa sangat risau dan berkemungkinan keadaan akan jadi lebih serius jika tidak dibendung awal," katanya.

Sementara itu, Olaf Scholz yang bakal menggantikan Merkel berkata, cara yang paling sesuai untuk mengatasi masalah ini adalah dengan meningkatkan jumlah rakyat yang lengkap divaksinasi.

Untuk rekod, tidak sampai 69 peratus penduduk Jerman divaksinasi dan perkara itu menjadikannya sebagai negara di barat Eropah yang paling rendah mencatatkan jumlah penduduk lengkap vaksinasi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Benua, Covid-19, Omicron, Jerman, Anti-vaksin