Insan beriman pun boleh jadi kufur nikmat


  • Mukmin
  • Sabtu, 04 Dis 2021

TIDAK berterima kasih atas nikmat yang diperoleh dalam hidup boleh menjadikan seseorang itu kufur nikmat. — Gambar hiasan/Agensi
UMAR Al Khatab pernah mengatakan bahawa salah satu ciri orang beriman adalah bersyukur ketika mendapat nikmat, namun ketika seseorang berasa telah berada di atas, mereka menjadi lalai.

Kufur nikmat adalah penyalahgunaan nikmat-nikmat ALLAH SWT iaitu tidak menggunakan nikmat-Nya pada jalan yang diredai ALLAH SWT, dan tidak berterima kasih atas nikmat yang diperoleh dalam hidup.

Dalam surat Luqman ayat 12, Allah SWT memerintahkan umat-Nya untuk bersyukur. “Sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu ‘Bersyukurlah kepada Allah. Siapa saja yang bersyukur, maka sungguh ia bersyukur untuk dirinya sendiri. Tetapi siapa saja yang tidak bersyukur (kufur nikmat), maka sungguh ALLAH Maha Kaya, Maha Terpuji”.

Dengan kata lain, orang yang beriman sekalipun dapat terjurumus ke dalam sikap kufur nikmat yang mana mereka mengingkari pemberian ALLAH SWT dengan memperkecilkan nikmat yang ALLAH SWT beri.

Walaupun tidak tergolong dalam kufur secara aqidah, kufur nikmat tidak boleh dianggap kecil kerana ia merupakan tindakan yang tercela yang dapat mendatangkan azab yang dahsyat sebagaimana dalam Surat Ibrahim ayat tujuh yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan maklumat, ‘Sungguh jika kalian bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu. Tetapi jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat,".

Oleh sebab itu, ALLAH akan memberi nikmat yang lebih bagi hamba-Nya yang pandai bersyukur, sedangkan mereka yang kufur akan menerima balasan yang pedih sebagaimana dalam AL-Quran, diceritakan ada sebuah negeri ini penuh dengan nikmat yang ALLAH beri namun rakyat di negeri itu ditimpa musibah kerana perbuatan mereka sendiri.

"Sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat ALLAH, karana itu ALLAH menimpakan kepada mereka bencana kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang mereka perbuat." (An-Nahl Ayat 112)

Kita sebagai hamba ALLAH, patutnya tanamkan rasa syukur dalam diri kerana sikap mudah bersyukur akan melambangkan kerendahan hati kita sebagai manusia dan membuat kita sedar bahawa rezeki, ilmu dan kesihatan datangnya dari ALLAH SWT. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kufur nikmat, ALLAH, Islam, Umar Al Khatab