24 pelajar lelaki Maktab Mahmud di Sik positif Covid-19


  • Primer
  • Jumaat, 03 Dis 2021

PIHAK Pejabat Kesihatan Daerah Sik masih menyiasat punca penularan kluster tersebut. — Gambar Hiasan

SERAMAI 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik di Taman Pelangi Jaya, Sik, Kedah disahkan positif Covid-19 membabitkan kluster institusi pendidikan yang baharu dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kluster tersebut dikesan setelah saringan bersasar yang dilakukan oleh pihak sekolah susulan beberapa pelajar mengalami gejala bermula 28 November lalu.

"Sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 38 individu telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah itu, 24 kes dikesan positif dan 14 lagi negatif.

"Notis penutupan sekolah juga telah diberikan dan berkuat kuasa hari ini sehingga kerja-kerja basmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik masih menyiasat punca penularan kluster tersebut dan sudah menjalankan isolasi dan pemerhatian terhadap kes-kes positif.

Sementara itu, katanya, kontak rapat yang telah dikenal pasti juga diarahkan menjalani kuarantin.

Punca penularan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik.

Dalam pada itu, Mohd Hayati meminta orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Elakkan daripada bersentuhan dan bersembang dalam jarak dekat serta berusahalah untuk menghindari kawasan sesak dengan ruang sempit atau tertutup.

“Pastikan pengudaraan baik di kawasan pembelajaran serta asrama dan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram