SEORANG ahli Parlimen New Zealand, Julie Anne Genter menjadi perhatian ramai selepas mampu berbasikal ke hospital untuk melahirkan anak pada Ahad.
Ahli politik Green Party of Aotearoa New Zealand itu turut memuat naik status tentang kelahiran bayinya beberapa jam kemudian di Instagram.
"Berita baik! Pada pukul 3.04 pagi, kami menyambut anggota terbaharu dalam keluarga kami.
"Saya memang tidak bercadang untuk berbasikal untuk bersalin tetapi ia akhirnya berlaku," katanya di laman Instagram peribadinya pada Ahad.
Ini bukan kali pertama Genter berbuat demikian kerana pernah melakukan perkara serupa sewaktu melahirkan anak pertama pada 2018.
New Zealand memang dikenali kerana memiliki ramai ahli politik yang bersikap rendah diri. Sebelum ini, Perdana Menteri, Jacinda Ardern turut menjadi tumpuan selepas mengambil cuti bersalin ketika bertugas.
Beliau bahkan membawa anaknya yang pada masa itu berusia tiga bulan ke mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana masih menyusu badan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram