PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel memberikan alasan pelik dan melucukan apabila dia menyalahkan lampu limpah (flood light) di stadium atas keputusan seri dengan Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Lelaki asal Jerman itu dikatakan mempamerkan 'sisi Jurgen Klopp' dengan mengaitkan alasan tidak munasabah atas kesilapan dilakukan Jorginho yang menyumbang gol kepada Man United.
Dalam perlawanan di Stamford Bridge itu, Man United awalnya mendahului dengan gol pertama Jadon Sancho pada minit ke 50.
Chelsea kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Jorginho pada pada minit ke 69.
Selepas perlawanan itu, Tuchel ditanya tentang kesilapan itu dan menyatakan bahawa Jorginho terganggu oleh lampu limpah di stadium.
“Dia salah menilai situasi dan dia sangat terganggu akibat lampu sehingga tidak melihat bola akhirnya. Ia berlaku," katanya.
Susulan alasan yang melucukan itu, ramai peminat di media sosial menempelak pengendali Chelsea itu dan membandingkan dia dengan rakan senegaranya, Jurgen Klopp.
Pengurus Liverpool itu pernah menyalahkan angin kerana pasukannya tidak memenangi perlawanan lebih awal dalam tempoh perkhidmatannya.
Seorang peminat menulis, “Bayangkan jika Klopp berkata bahawa dia dapat melihat dengan jelas bola kerana ia adalah sentuhan yang baik tetapi Marcus Rashford dan Sancho sudah pun menyerangnya. Kesilapan yang dia lakukan adalah cuba mengawal bola berbanding mengeluarkan bola itu ke pada mulanya dan bukannya membersihkannya."
Seorang lagi menambah: "Alasan itu sama seperti Klopp, ini tragis."
Walaupun seri dengan United, Chelsea kekal di tangga teratas Liga Perdana dengan 30 mata selepas 13 perlawanan, mendahului juara Manchester City dengan satu mata.
Pasukan Tuchel akan berdepan dua perlawanan di London dalam tempoh enam hari akan datang ketika mereka bertandang ke Watford pada hari Rabu sebelum melawat West Ham United pada Sabtu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram