'Biar jasa jadi kenangan,' 1001 pencapaian Baddrol, Rizal bersama Kedah


  • Podium
  • Isnin, 29 Nov 2021

RIZAL Ghazali (kiri) dan Baddrol Bakhtiar mendapat restu daripada peminat Kedah untuk berhijrah ke Borneo.

UCAPAN dan kata-kata penghargaan daripada penyokong Kedah buat dua pemain mereka yang dikatakan bakal menyertai pasukan Sabah FC seakan merestui keputusan yang dibuat yang dibuat oleh kedua bintang Hijau Kuning itu.

Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali telah lama beraksi untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya telah diintai Sabah FC dan dijangka melengkapkan perpindahan ke Borneo tidak lama lagi.

Baddrol-Bakhtiar-1280x720

Baddrol Bakhtiar

Di awal kariernya bersama Kedah pada musim 2006/2007, dia perlu bersaing dengan dua pemain sayap kiri dan kanan yang sangat cemerlang iaitu Mohd Kyril Muhymeen Zambri dan K. Soley.

Hanya kira-kira setahun selepas itu, peluang untuk Baddrol beraksi dalam kesebelasan utama mula terbuka selepas K. Soley berhijrah ke Perlis.

Ternyata peluang yang terhidang itu tidak disia-siakan apabila pemain kelahiran Sarawak ini mula mendapat perhatian dengan permainan yang cukup meyakinkan.

Malah, pada musim 2007/2008, Baddrol telah menjaringkan 14 gol secara keseluruhan dengan masing-masing lapan gol di Liga Super, dua gol (Piala Malaysia) dan satu untuk Piala FA serta Piala AFC.

Selain itu, Baddrol juga pernah mencipta sejarah apabila memenangi Piala FA 2019 sebanyak empat kali bersama dengan Kedah.

Pada 2017, Baddrol juga mencipta pencapaian peribadi terbaiknya apabila menjadi pemain pertama membolot tiga gelaran di majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017.

Baddrol yang ketika itu merupakan pemain tengah pasukan kebangsaan dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik, Pemain Paling Bernilai dan Penjaring Terbanyak Liga Super (Tempatan) dengan sembilan jaringan.

Malah, tambah manis apabila pasukannya ketika itu juga dinobatkan sebagai pasukan bola sepak terbaik buat kali kedua selepas kali terakhirnya menerima gelaran itu pada 2010.

Sepanjang tempoh pemain berusia 33 tahun ini beraksi di Kedah, dia telah telah melakukan 355 penampilan dan menjaringkan 116 gol daripada posisi pemain tengah.

Pada Januari lalu juga, kapten Kedah ini telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sedekad sejak 2011 hingga 2020.

rizal01_1485311844

Rizal Ghazali

Rizal jauh lebih muda daripada Baddrol dan memulakan kerjaya bola sepaknya menerusi skuad muda Perlis dan bukannya Kedah, walaupun dia lahir di Baling.

Difahamkan, bakat muda yang terlalu ramai di Kedah membuatkan pemain berusia 29 tahun itu terpaksa memulakan kerjayanya bersama Perlis sebelum naik ke skuad senior pada 2011.

Pada 2014, Rizal yang lebih mesra disapa dengan nama Jai kemudian telah disunting oleh Kedah untuk beraksi di bahagian pertahanan kanan.

Jika di Perlis, Rizal bermain di bahagian serangan tetapi ternyata jurulatih Kedah ketika itu, Ramon Marcote mengubah pemain tersebut sehingga menjadi seorang daripada pertahanan kanan antara yang terbaik di Malaysia ketika ini.

Rizal pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Piala Malaysia 2016 selepas membantu Kedah meraih kejuaraan kali kelima trofi tersebut.

Menariknya, dalam perlawanan akhir menentang Selangor itu, Rizal menjadi 'hero' pasukan selepas berjaya menjaringkan gol penalti selepas dua pemain lain gagal menyempurnakannya.

Antara kejayaan lain yang diraih Rizal bersama Kedah adalah membantu pasukan menjadi juara Liga Perdana (2015), naib juara Piala Malaysia (2015), tempat ketiga Liga Super (2016) dan juara Piala Malaysia (2019).

Untuk rekod, Rizal telah bermain sebanyak 118 perlawanan sepanjang kariernya di Kedah dan 13 perlawanan bersama skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram