POLIS pada Sabtu menahan 40 lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dengan berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang.
Penanahanan itu dilakukan menerusi satu serbuan di sebuah restoran mewah di Seberang Jaya, Butterworth pada pukul 9.30 malam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais, ketika serbuan dijalankan kumpulan terbabit sedang mengadakan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baharu.
"Serbuan itu dibuat selepas polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik sebuah NGO bagi menghidupkan kembali pengaruh di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
"Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selepas memperoleh maklumat awam," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang pada Ahad.
Katanya lagi, hasil serbuan membawa kepada penahanan seramai 40 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun yang berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Jelasnya, pemeriksaan yang dijalankan polis juga mendapati lapan daripada lelaki yang ditahan mempunyai tatu sebuah pertubuhan haram.
"Dalam serbuan itu polis turut merampas 56 telefon bimbit, dua cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah dan kini direman untuk siasatan," ujarnya.
Rahimi turut menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membanteras jenayah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram