Warga Malaysia bebas selepas dipenjara 13 tahun di Bali


  • Benua
  • Ahad, 21 Nov 2021

GOBINATHAN (tiga dari kiri) sebelum ini didapati bersalah membawa masuk dadah ke Indonesia. — Agensi

SEORANG lelaki warga Malaysia dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 13 tahun di Bali, Indonesia selepas didapati bersalah membawa masuk dadah ke negara tersebut.

Lelaki tersebut, Gobinathan V. Loganathan, 37, mengaku bersalah mengimport dadah dalam bentuk bukan tanaman melebihi lima gram.

Selain dikenakan hukuman penjara, Gobinathan juga didenda sebanyak 1 bilion rupiah (RM293,180). Sekiranya denda tersebut tidak dibayar, dia akan dipenjarakan untuk enam bulan lagi.

Gobinathan yang berasal dari Johor, kini diserahkan ke pejabat imigresen di Bali untuk tujuan pemeriksaan sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

"Sebelum diserahkan ke pejabat imigresen di Denpasar, ujian saringan dijalankan oleh anggota perubatan bagi memastikan dia tidak mengalami Covid-19," kata Ketua Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Bali, Jamaruli Manihuruk dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, menurut Jamaruli, proses penghantaran pulang Gobinathan tidak dapat dijalankan lagi memandangkan dia tidak mempunyai duit dan dokumen perjalanan ke Malaysia.

Tambahnya, Gobinathan tidak akan dibenarkan memasuki Indonesia lagi selepas dia mengaku bersalah melakukan jenayah narkotik.

Tegas beliau lagi, warga asing yang memasuki Indonesia terutamanya Bali bakal berdepan tindakan tegas sekiranya melanggar sebarang peraturan dan undang-undang yang termaktub di negara tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram