PEMAIN tengah Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain menyatakan kekecewaannya selepas gagal menjaringkan sebarang gol ketika pasukan itu mudah membenam Arsenal 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Meskipun turun dalam kesebelasan utama dan bermain selama 76 minit perlawanan tersebut, Oxlade-Chamberlain yang juga bekas pemain Arsenal, gagal mencetak sebarang gol.
"Secara jujurnya, saya patut menjaringkan gol, saya terlepas peluang. Terdapat beberapa perkara yang saya perlu perbaiki," ujarnya seperti dipetik BBC.
Berkemungkinan salah satu faktor yang mengundang kekecewaan Oxlade-Chamberlain adalah kerana dia memperoleh gaji sebanyak 120,000 pound (RM674,965) seminggu berbanding Takumi Minamino dan Diogo Jota yang mendapat gaji mingguan lebih rendah daripadanya tetapi mampu merekod jaringan pada perlawanan tersebut.
Selain Jota dan Minamino, Sadio Mane serta Mohamed Salah turut mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan terbabit.
Oxlade-Chamberlain bermain baik dalam perlawanan pada Ahad dan menjadi antara watak penting dalam menggerakkan jentera serangan Liverpool.
Pemain berusia 28 tahun itu melakukan beberapa larian yang mengundang masalah kepada barisan pertahanan Arsenal.
Oxlade-Chamberlain melakukan tiga percubaan tetapi tiada satu yang tepat ke sasaran. Dia juga merekodkan ketepatan hantaran sebanyak 75 peratus, menang perebutan bola di udara sebanyak dua kali, melakukan 47 sentuhan, membuat tiga bentesan dan dua hantaran lintang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram