Tiga produk pes dan sos makanan dari Malaysia ditarik balik


  • Benua
  • Ahad, 07 Nov 2021

TIGA jenis pes dan sos masakan keluaran syarikat Malaysia yang telah ditarik balik SFA. — Agensi

TIGA jenis pes dan sos masakan keluaran syarikat Malaysia telah ditarik balik selepas didapati mengandungi bahan pengawet melebihi paras yang dibenarkan, demikian arahan Agensi Makanan Singapura (SFA).

Produk-produk itu, "pes gan xiang", "sos moo-mite" dan "pes kuning telur asin" jenama Feng He Garden berasal dari Malaysia, kata SFA dalam satu kenyataan media.

Bahan pengawet yang digunakan juga tidak diisytiharkan pada label bungkusan makanan.

"SFA sudah mengarahkan pengimport, Feng He Garden Pte Ltd, untuk menarik balik semua produk yang terbabit," kata agensi itu.

Di bawah Peraturan Makanan Singapura, bahan-bahan seperti pengawet makanan mesti diisytiharkan pada label bungkusan makanan, lapor agensi berita CNA.

"Hanya pengawet makanan yang diluluskan boleh digunakan dalam produk makanan yang diimport atau dihasilkan untuk dijual di Singapura, dan ini tidak boleh melebihi paras maksimum yang dibenarkan," kata SFA.

Kenyataan itu juga berkata, pengguna boleh menghubungi tempat di mana mereka membeli produk itu untuk sebarang pertanyaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

produk, dfa, pes, makanan, sos masakan,