Lapan maut dalam insiden rempuhan festival muzik


  • Benua
  • Sabtu, 06 Nov 2021

FESTIVAL Astroworld mula diperkenalkan pada 2018 tetapi tidak dianjurkan pada 2020 disebabkan pandemik Covid-19

SEKURANG-kurangnya lapan orang maut dan puluhan lagi cedera dalam insiden rempuhan di festival muzik Astroworld di Houston, Amerika Syarikat pada Jumaat malam.

"Orang ramai mula bersesak-sesak di hadapan pentas utama mencetuskan situasi panik dan menyebabkan beberapa pengunjung mengalami kecederaan,” kata Ketua Bomba Houston Samuel Pena di sidang media pada Sabtu.

"Sekurang-kurangnya lapan orang disahkan terbunuh dan beberapa individu cedera," kata Pena.

Insiden itu dikatakan berlaku kira-kira 9.15 malam waktu tempatan ketika penyanyi rap Travis Scott membuat persembahan.

Sekurang-kurangnya 17 mangsa dihantar ke hospital, 11 dibawa dengan ambulans selepas mengalami serangan jantung, katanya.

Kira-kira 300 orang lagi dirawat di lokasi kejadian.

Festival Astroworld mula diperkenalkan pada 2018 tetapi tidak dianjurkan pada 2020 disebabkan pandemik Covid-19. — Agensi

kebakaran, festival muzik, Houston