Tiga mangsa culik warga China di Mali berjaya larikan diri


  • Benua
  • Selasa, 02 Nov 2021

TIGA lelaki warga China yang diculik di Mali sejak lebih tiga bulan lalu, berjaya melarikan diri kelmarin sebelum diselamatkan oleh pasukan keselamatan semalam. — Gambar hiasan/Agensi

SELEPAS lebih tiga bulan diculik di Bamako, Mali, tiga lelaki warga China berjaya melarikan diri pada Ahad sebelum diselamatkan oleh pasukan keselamatan sehari kemudian.

Pada 17 Julai lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah tapak pembinaan di barat daya negara dibelenggu konflik itu sebelum melarikan trak pikap bersama lima tebusan membabitkan tiga warga China serta dua warga Mauritania.

Namun, warga Mauritania berkenaan dibebaskan 10 hari kemudian.

Menurut tentera Mali dalam satu kenyataan, ketiga-tiga warga China terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri pada Ahad lalu.

Pasukan tentera darat dan udara kemudian berjaya menemui mereka pada keesokannya dalam operasi bersama yang turut dibantu 'individu tidak dikenali yang berniat baik.'

Pihak tentera memuji 'keberanian dan daya juang' mangsa culik berkenaan, serta memaklumkan mereka berada dalam kesihatan sihat. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

culik, mali, china, pengganas,