SATU video pergaduhan antara dua orang penduduk kondominium dan pengawal keselamatan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Insiden itu berlaku disebabkan penduduk tersebut, pasangan suami isteri, berang kerana pengawal keselamatan yang bertugas tidak menjaga anak mereka yang ditinggalkan seketika bersama seorang pengawal berbangsa asing.
Difahamkan, pasangan itu meninggalkan anak mereka di meja pengawal keselamatan untuk pergi melakukan urusan peribadi.
Apabila pulang, mereka mendapati anak mereka ditinggalkan bersendirian di meja pengawal, menyebabkan mereka menjadi marah.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Residensi Awani yang terletak di ibu kota.
Pihak pengurusan kondominium sudah pun mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu dan akan mengambil tindakan terhadap penyewa serta pemilik unit tersebut.
"Kejadian berpunca daripada tindakan penyewa tersebut meninggalkan seorang anak mereka di meja sekuriti ketika pihak pengawal keselamatan sedang melaksanakan rondaan di semua aras Blok B.
"Berdasarkan rakaman CCTV, penyewa tersebut telah bertindak memaki hamun pengawal keselamatan kerana tidak menjaga anak mereka, menggunakan kata-kata kesat serta ugutan selain cubaan melakukan kekerasan fizikal," kata kenyataan itu.
Tambahnya, menjaga anak penduduk bukan merupakan salah satu skop kerja pengawal keselamatan dan pihak pengurusan juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram