Kit ujian kendiri Covid-19 kini dijual serendah RM6.90


  • Primer
  • Selasa, 02 Nov 2021

ALEXANDER Nanta Linggi ketika majlis pelancaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di KK Super Mart di KLIA2 pada Isnin. — The Star

KIT ujian kendiri Covid-19 kini boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, penjualan kit ini akan diperluaskan ke lebih banyak premis dan boleh didapati di pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

“Pastinya ini berita baik bagi pengguna, dengan mengambil kira situasi semasa dan keperluan untuk ujian kendiri dijalankan,” katanya pada majlis pelancaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di KK Super Mart di KLIA2 pada Isnin.

Nanta berkata, walaupun kementeriannya dimaklumkan harga kit ini ditawarkan pada RM6.90 seunit, terdapat kedai seperti KK Super Mart yang menjualnya pada harga RM6.60 seunit.

Sebelum ini, kit ujian kendiri Covid-19 yang mendapat kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, dijual di klinik dan farmasi terpilih.

Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum kit itu pada RM19.90 seunit dan harga borong pada RM16 seunit berkuat kuasa 5 September lalu.

Nanta berkata, keputusan untuk memperluas penjualan kit ujian Covid-19 akan memberi manfaat dan mengakibatkan penurunan harga, meningkatkan daya saing dalam sektor runcit dan mengekalkan bekalan.

Setakat 28 Oktober, 2,570 premis perniagaan di seluruh negara telah diberi kebenaran untuk menjual kit ujian kendiri itu, termasuk 494 cawangan di bawah pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, katanya.

Mengenai harga siling baharu kit ujian itu, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi dan harga akan ditentukan selepas mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan pengguna dan peniaga.

Harga siling sedia ada akan diturunkan ke tahap yang dianggap adil kepada pengguna dan perniagaan, kata Nanta.

“Harga siling baharu juga mesti mengambil kira hakikat bahawa perniagaan perlu mengimport kit tersebut.

“Bagi pengguna, kita perlu memastikan mereka boleh membeli barangan mengikut keperluan mereka, termasuk jenama dan kualiti,” katanya.

Nanta percaya bahawa persaingan akan menyebabkan harga barangan yang lebih rendah di peringkat runcit. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram