Empat terbunuh, bangunan pencakar langit setinggi 21 tingkat runtuh


  • Benua
  • Selasa, 02 Nov 2021

BANGUNAN 21 tingkat yang runtuh dan mengorbankan empat nyawa di bandar Lagos, Nigeria semalam. — AFP

SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh selepas bangunan 21 tingkat yang dalam pembinaan runtuh pada petang Isnin di bandar Lagos, hab ekonomi Nigeria, menurut seorang pegawai pengurusan kecemasan.

Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) di Lagos, Ibrahim Farinloye ketika dihubungi agensi berita Xinhua berkata, bangunan 21 tingkat yang sedang dibina di kawasan Ikoyi di bandar Lagos itu runtuh kira-kira 3 petang waktu tempatan, dan setakat ini empat mayat telah ditemukan dan empat mangsa lain diselamatkan.

Farinloye berkata, misi mencari dan menyelamat sedang berjalan dengan dibantu tentera darat dan udara, dan lebih ramai mangsa dikhuatiri terperangkap.

Beliau berkata, punca runtuhan masih belum jelas dan siasatan sedang dijalankan.

Menurut penduduk tempatan kepada Xinhua, bangunan itu sedang dalam pembinaan selama lebih setahun, dan lebih 50 orang, kebanyakannya pekerja binaan, terperangkap di bawah runtuhan.

Kejadian bangunan runtuh sering berlaku di Nigeria kerana sesetengah pemilik dan pemaju hartanah tidak mematuhi undang-undang serta peraturan perancangan dan bangunan. Dalam kebanyakan kes, muatan berlebihan diletakkan di bangunan selain menggunakan bahan yang tidak menepati standard pembinaan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nigeria, bangunan runtuh,