10 bangunan ikonik 'menyala', raikan Malaysia jadi hos Sukan SEA ke-34


  • Podium
  • Jumaat, 19 Dis 2025

KLCC antara 10 bangunan ikonik meraikan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34.

SEBANYAK 10 bangunan ikonik di empat negeri akan disinari cahaya Jalur Gemilang bermula pukul 7 malam esok sebagai simbolik sambutan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Ke-34 pada 2027, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam satu kenyataan berkata, pencahayaan khas itu diadakan bersempena upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang akan berlangsung semasa upacara penutup Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Menurut KBS, majlis berkenaan akan menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Norza Zakaria menerima bendera SEAGF sebagai simbolik penggiliran rasmi Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

BACA LAGI: Miss Thailand 2023 galas tugas istimewa, bangga bawa papan tanda Malaysia di Sukan SEA 2025

BACA LAGI: Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025

“Sebagai tanda keterujaan dan komitmen penganjuran, 10 bangunan ikonik di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Baharu dan Pulau Pinang akan diwarnai pancaran lampu merah, kuning, biru dan putih melambangkan Jalur Gemilang,” menurut KBS hari ini.

Antara bangunan yang terlibat ialah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara DBKL, KOMTAR, Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), Jambatan Sultan Abdul Halim, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching serta kawasan sekitar Iskandar Puteri, Johor.

KBS turut memaklumkan Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai salah satu mercu tanda sukan negara, akan turut disinari pencahayaan khas bagi menandakan peranan pentingnya dalam penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Abdul Rashid Yaakub dipetik berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh keempat-empat negeri penganjur mencerminkan kesiapsiagaan serta semangat tinggi dalam menjayakan Sukan SEA edisi ke-34.

“Pencahayaan bangunan dengan warna Jalur Gemilang ini merupakan simbolik sambutan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA buat kali ketujuh. Ia juga diharap dapat menyemarakkan semangat dan keterujaan rakyat menjelang penganjuran temasya tersebut,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram