JABATAN Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian ahli kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat mengenai hasil laporan siasatan yang dibuka PDRM berhubung kematian Syamsul Haris.
BACA LAGI: Mahkamah Tinggi tolak permohonan gali semula kubur pegawai kadet Palapes UiTM
BACA LAGI: Peguam serah bukti baharu babit kematian kadet Palapes
"Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil Laporan Siasatan tersebut, jabatan telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan selanjutnya oleh pihak PDRM," menurut kenyataan itu.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram.
Jenazah Syamsul Haris dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
