DENGAN kem perseorangan lelaki bergelut mencari rentak, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mempunyai banyak pilihan selain mengekalkan bekas juara Asia, Lee Zii Jia dalam perancangan mereka untuk Piala Thomas tahun depan di Horsens, Denmark.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei yang mempengerusikan mesyuarat bersama pasukan kejurulatihan bagi persiapan kejohanan berpasukan itu pada Isnin, mengakui bahawa skuad perseorangan lelaki kini sedang berdepan kesukaran khususnya pemain nombor satu negara, Leong Jun Hao.
Keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan awal persatuan, yang sebelum ini menetapkan sasaran untuk memenangi Piala Thomas tahun depan dalam usaha menamatkan kemarau gelaran selama 34 tahun.
BACA LAGI: Jika terlalu serius cedera, Zii Jia perlu pertimbang bersara — Legenda badminton negara
BACA LAGI: Dengar isyarat tubuh, Zii Jia tutup 'buku' jelajah dunia
Disebabkan itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain mengekalkan Zii Jia dalam perancangan bagi memperkuatkan pasukan, meskipun pemain profesional itu masih dalam proses pemulihan kecederaan.
"Kami tidak ada pilihan. Kami akan menghantar apa yang kami ada untuk Piala Thomas. Ada enam bulan sebelum kejohanan bermula, dan kami akan menjemput pemain bebas untuk menyertai persiapan bersama skuad kebangsaan.
"Kenneth Jonassen akan menguruskan skuad perseorangan, manakala Rexy Mainaky akan mengendalikan beregu. Saya tahu barisan perseorangan kami agak lemah, tetapi kami ada Leong Jun Hao, Justin Hoh, Aidil Sholeh dan Eogene Ewe, yang akan beraksi di Sukan SEA dan saya jangka barisan hampir sama akan dibawa ke Piala Thomas.
"Dan kami akan menambah Lee Zii Jia. Kami masih belum pasti mengenai proses pemulihannya dan sedang menunggu kepastian daripada pasukannya, Team LZJ. Tetapi dengan enam bulan lagi sebelum kejohanan, kami berharap dia boleh pulih sepenuhnya.
"Kami juga akan memantau ranking para pemain supaya pasukan kejurulatihan dapat merancang dan membuat persediaan sewajarnya," kata Chong Wei ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Jun Hao kini pemain harapan Malaysia untuk perseorangan lelaki.
2025 merupakan tahun yang mencabar buat Zii Jia, yang hanya sempat beraksi dalam lima kejohanan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu memulakan tahun dengan bergelut kecederaan buku lali, kembali sebentar pada Mac untuk Orleans Masters dan All England sebelum kecederaan tersebut bertambah teruk sehingga memerlukan rawatan lanjut.
Selepas berehat lima bulan, Zii Jia membuat kemunculan semula di Kejohanan Dunia, diikuti Hong Kong Open dan China Masters, namun ketiga-tiganya berakhir dengan kekalahan pusingan pertama.
Kekecewaan bertambah apabila dia terpaksa menamatkan musim 2025 lebih awal akibat kecederaan belakang.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei.
Dalam masa sama, Chong Wei turut mendedahkan kemungkinan menghantar skuad negara ke Denmark beberapa minggu lebih awal bagi menjalani kem latihan berpusat dan membantu pemain menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.
Kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas ialah pada tahun 1992 di Kuala Lumpur dan sejak itu skuad negara masih belum berjaya merangkul semula kejuaraan berprestij tersebut.
Dalam edisi 2024 di Chengdu, Malaysia tewas 1-3 kepada China di separuh akhir dan membawa pulang pingat gangsa bersama Taiwan, satu lagi pasukan separuh akhir. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
