DARI sekadar bermimpi hingga berjaya jadikannya realiti, usaha ahli gusti profesional tanah air iaitu Ayez Shaukat-Fonseka Farid atau lebih dikenali sebagai Ayez Shaukat menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) tidak sia-sia.
Ayez Shaukat akhirnya melakukan debutnta di bumi Hollywood dengan menentang Danny Limelight di Walker Texas Lawyer Arena pada 8 November bagi perlawanan Row Championship di Texas.
Bukan sekadar mendapatkan pengalaman melebarkan sayap di pentas World Wrestling Entertainment (WWE), atlet berusia 38 tahun itu juga berpeluang menemui beberapa individu berpengaruh dalam industri gusti.
BACA LAGI: ‘Tiada seorang pun yang pandang saya’, Shaukat sokong idea TMJ bawa WWE-UFC ke SSI
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 10 tahun kejar impian, Shaukat jalin kerjasama dengan legenda WWE Booker T
Menerusi perkongsian di laman Facebook pada Ahad, Ayez Shaukat berkongsi mengenai momennya bertemu anak kepada legenda ahli gusti terkenal iaitu mendiang Eddie Guerrero.
Apa yang menarik ketika pertemuan berkenaan apabila anak legenda itu, Sherilyn Guerrero memberitahu bahawa Ayez Shaukat bahawa dia mengingatkannya kepada mendiang Eddie.
"Bersama Sherilyn Guerrero, anak kepada mendiang Eddie Guerrero. Selepas match dia datang beritahu saya yang dia nampak banyak persamaan antara saya dan mendiang ayahnya.
"Saya kongsikan dengan dia, yang memang (mendiang ayah) antara salah satu pro wrestler saya kerap study adalah Eddie Guerrero sebab kami lebih kurang ketinggian dan saiz.
"Dia merupakan seorang influencer dan social media star yang kini mula berlatih pro wrestling bersama Reality of Wrestling dan Booker T," kongsi Ayez Shaukat pada laman Facebook.
Eddie yang meninggal dunia pada 13 November 2005 pada usia 38 tahun, terkenal dengan gaya peribadinya yang unik serta cogan kata 'Lie, Cheat, and Steal', menjadikannya kegemaran peminat.
Selain pertemuan dengan anak legenda itu, Ayez Shaukat juga berkesempatan bersua dengan Sasha Banks atau nama sebenarnya Mercedes Vernado iaitu antara penggusti wanita paling berkarisma dan berpengaruh dalam era moden.
Setelah pertemuan itu, Ayez Shaukat mengakui bahawa dia merasakan banyak persamaan dengan Sasha Banks terutamanya dari segi semangat dan dedikasi dalam mengejar matlamat dalam industri gusti, walaupun berdepan dengan kritikan daripada sesetengah pihak.
"Lepak backstage bersama Mercedes Mone (atau lebih dikenali dengan nama WWE nya Sasha Banks). Dulu nama samaran Legit Boss, sekarang CEO. Dalam dunia ini kalau korang sedar mereka yang berjaya dalam hidup akan sentiasa cuba ajak mereka yang berusaha untuk naik bersama.
"Banyak persamaan kami berdua seperti tidak diendahkan industri dan bidang kami, dibenci ramai, dan sebagainya dan kami create satu support system untuk ingatkan masing-masing terhadap matlamat. Tak lama lagi semua akan berbaloi, insya ALLAH. Dah muka nampak sinar. Sky's the limit," kongsinya.
Untuk info, Ayez Shaukat kini merupakan sebahagian daripada keluarga besar WWE, selain berjaya dapat bekerjasama dengan idolanya iaitu Booker T.
Ayez Shaukat juga pengasas APAC Wrestling sejak 2014, ia merupakan satu-satunya platform di rantau Asia Tenggara yang mengangkat sukan gusti ke peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
