UNGKAPAN 'usaha tidak akan mengkhianati hasil' bukan sekadar kata-kata motivasi untuk mengejar cita-cita, tetapi menjadi langkah awal untuk kekal konsisten dalam merealisasikan impian.
Selepas kira-kira lebih 10 tahun menyasarkan untuk menembusi pasaran dunia dalam arena gusti, Ayez Shaukat-Fonseka Farid atau lebih dikenali sebagai Ayez Shaukat akhirnya melakukan debutnya di Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan perkongsiannya di Facebook miliknya, Ayez Shaukat berkongsi satu foto yang kelihatan seperti gambar selepas perlawanan Row Championship di Texas, Amerika Syarikat.
BACA LAGI: ‘Tiada seorang pun yang pandang saya’, Shaukat sokong idea TMJ bawa WWE-UFC ke SSI
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 10 tahun kejar impian, Shaukat jalin kerjasama dengan legenda WWE Booker T
Berdasarkan poster perlawanan yang dimuat naik laman Instagram, Reality of Wrestling, Ayez Shaukat difahamkan menentang Danny Limelight di Walker Texas Lawyer Arena pada Sabtu (waktu Malaysia).
Walaupun tidak berkongsi keputusan perlawanan namun debut ahli gusti berusia 38 tahun itu wajar mendapat pujian kerana menjadi orang pertama Asia Tenggara yang muncul bertarung di rancangan televisyen Amerika Syarikat.
"Orang pertama yang dilahirkan dan membesar di Asia Tenggara untuk main event pro wrestling show di TV USA. Dah jadi top star di Texas.
"Dan satu-satu nya anak seni Malaysia yang secara konsisten keluar di TV Hollywood sejak tahun 2022, empat tahun berturut-turut.
"Satu pencapaian yang tak ada satu pun pelakon Malaysia (born and raised) lain dapat buat setakat ini. Kalau luar boleh, sini mesti boleh. Nanti kan 2026," kongsinya.
Untuk info, Ayez Shaukat kini merupakan sebahagian daripada keluarga besar World Wrestling Entertainment (WWE), selain berjaya dapat bekerjasama dengan idolanya iaitu Booker T.
Ayez Shaukat juga pengasas APAC Wrestling sejak 2014, ia merupakan satu-satunya platform di rantau Asia Tenggara yang berfungsi mengangkat sukan gusti ke peringkat antarabangsa.
Selain cemerlang di dunia gusti, Ayez Shaukat juga merupakan seorang pelakon dan pengarah aksi filem. Antara filem yang dibintanginya ialah Takluk: Lahad Datu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
