
KETUA Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia mempertahankan dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara.
Perkongsian penuh semangat itu dikongsikan di laman Facebook, Sembang Orang Kedah, memperlihatkan kesungguhan beliau dalam menyemai nilai patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan.
"Kita akan berdiri sehingga ketitisan darah yang terakhir untuk mempertahankan bendera itu," katanya dalam rakaman video yang dikongsikan.
BACA LAGI: [VIDEO] Oyen, Simba dan basikal berhias warnai perarakan Hari Kebangsaan ke-68
Tambah beliau, bagi anggota polis dan tentera, bendera bukan sekadar kain, ia adalah simbol perjuangan dan maruah negara.
"Menghormati bendera mesti ada makna. Kalau kami dalam polis dan askar, kita tak boleh bagi bendera itu cecah tanah," katanya lagi.
Shuhaily turut menyentuh isu bendera terbalik yang sering menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat.
"Sebab itu, orang-orang lama yang telah berjuang, isu bendera terbalik cukup dekat dengan hati mereka, dan cukup menghiris mereka disebabkan mereka berjuang untuk bendera itu dulu," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa bendera adalah identiti sesebuah negara merdeka dan mengingatkan bahawa ramai pejuang terdahulu telah terkorban demi memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah.
Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada warganet yang rata-rata menyokong mesej yang disampaikan dan menyifatkannya sebagai peringatan bermakna buat generasi hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram