
PELUMBA cilik sensasi negara, Qabil Irfan Azlan meletakkan sasaran tinggi untuk menamatkan musim FIM MiniGP Malaysia 2025 sebagai juara kategori rookie selepas mencatatkan permulaan cemerlang sepanjang musim ini.
Qabil Irfan baru-baru ini terus mendominasi kategori 190 dengan kutipan penuh 150 mata setakat ini selepas menjuarai kedua-dua perlumbaan untuk Pusingan ketiga FIM MiniGP Malaysia 2025 baru-baru ini.
Pelumba 13 tahun itu tidak sabar untuk meraih kejayaan lebih megah menerusi pusingan keempat yang akan berlangsung di LYL International Karting Circuit, Sungai Long Cheras, pada 9 dan 10 Ogos ini.
BACA LAGI: Legenda MotoGP negara harap Hakim Danish beraksi GP Malaysia guna ‘wild card’
BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Terengganu tunai janji pastikan lagu Negaraku bergema di Sepanyol
Pada masa sama, anak jati Terengganu berkenaan juga sedang memberi tumpuan kepada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent.
Atlet berusia 13 tahun itu terus mempamerkan semangat juang tinggi apabila meletakkan sasaran untuk muncul juara dalam dua kejohanan utama yang menjadi fokus perkembangan kariernya musim ini.
"Dua kejuaraan ini memang menjadi impian saya musim ini. Semua orang mahu jadi juara, jadi saya akan berusaha lebih keras.
"Insya-ALLAH, saya akan buat yang terbaik untuk merangkul kejuaraan dalam setiap perlumbaan,” katanya ketika ditemui sesi media RSB bersama seorang lagi bakat muda permotoran iaitu Hakim Danish, acara itu turut dihadiri oleh Pengurus Besar RCB, Marcus Leong di Putrajaya pada Khamis.
Ketika ini, Qabil sedang mendahului carta keseluruhan Kejuaraan Siri Superbike Malaysia (ESBK) dengan 173 mata serta MiniGP Malaysia dengan 150 mata, satu kedudukan yang meletakkannya dalam posisi kukuh untuk menggenggam gelaran berganda di dua pentas berbeza.
Qabil Irfan.
Menurut Qabil Irfan, prestasi yang ditampilkan musim ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu, apabila berjaya mengekalkan konsistensi dan kedudukan sebagai pendahulu menjelang tiga baki pusingan terakhir musim.
"Alhamdulillah, musim ini sangat baik untuk saya. Dari awal hingga pertengahan musim, prestasi saya konsisten dan berada di hadapan.
"Sekarang hanya tinggal tiga pusingan lagi. Saya akan pastikan kesihatan dijaga dan latihan ditingkatkan supaya dapat kekal bersaing dalam kelompok teratas," jelasnya.
Setakat ini, Qabil Irfan berjaya menaiki podium sebanyak tujuh kali termasuk empat kemenangan penuh dengan ia merupakan satu pencapaian membanggakan bagi pelumba seawal usia remaja.
Namun, rentak podiumnya sedikit terganggu apabila hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam saingan ESBK di Litar Navarra, Sepanyol.
Walau bagaimanapun, Qabil Irfan kekal tenang dan menyedari setiap perlumbaan hadir dengan cabaran tersendiri.
"Lawan-lawan saya sangat pantas dan agresif. Jadi, ini bukan perlumbaan yang mudah. Saya perlu bekerja lebih keras untuk kekal bersaing hingga ke penghujung musim," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram