Legenda MotoGP negara harap Hakim Danish beraksi GP Malaysia guna ‘wild card’


  • Podium
  • Khamis, 31 Jul 2025

Zulfahmi (kiri) ditemui sesi media RSB bersama bakat muda permotoran Hakim Danish dan Qabil Irfan pada Khamis.

IMPIAN untuk melihat pelumba tempatan kembali beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sebagai pelumba ‘wildcard’ pada Grand Prix Malaysia, hujung tahun ini semakin hampir menjadi kenyataan. 

Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin memberitahu bahawa pihaknya telah pun menjalankan semua persiapan awal yang diperlukan bagi menjayakan program wildcard melibatkan pelumba muda negara seperti Hakim Danish Ramli, namun masih menantikan pengesahan akhir daripada pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC). 

BACA LAGI: [VIDEO] Anak jati Terengganu tunai janji pastikan lagu Negaraku bergema di Sepanyol

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan hanya rakyat Malaysia, 'mat saleh' melompat gembira lihat kemenangan Qabil Irfan di Barcelona

"Saya dah uruskan semua perkara daripada pihak saya dan saya pun ada berbincang minggu lepas dengan SIC. Mereka sebenarnya ke arah nak jadikan program wildcard ini realiti.  Tapi belum ada keputusan solid lagi, jadi saya belum boleh beri pengesahan penuh.

“SIC sudah menyatakan komitmen mereka untuk keluarkan kos tertentu, tetapi seperti biasa, ia perlu dibincangkan dengan pihak pengurusan tertinggi sebelum dimuktamadkan," kata Zulfahmi yang juga merupakan legenda permotoran negara. 

Zulfahmi ditemui sesi media RSB bersama bakat muda permotoran Hakim Danish dan Qabil Irfan, yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar RCB, Marcus Leong di Putrajaya pada Khamis.

Menurut Zulfahmi, sekiranya program tersebut menjadi kenyataan, pihaknya akan memastikan segala persiapan awal seperti sesi ujian dan pemilihan jentera yang kompetitif diatur dengan teliti agar pelumba negara tidak turun ke litar tanpa persediaan sewajarnya.

Mengulas lanjut, Zulfahmi memaklumkan pengumuman rasmi mengenai penyertaan wild card itu perlu dibuat sekurang-kurangnya 45 hari sebelum perlumbaan, selaras dengan ketetapan pihak penganjur MotoGP, Dorna Sports.

“Kalau kita dapat wild card, sasaran realistik bukanlah podium atau menang tetapi memberi pengalaman pertama yang berharga buat pelumba negara.

“Saya mahu mereka turun dengan keyakinan selepas ujian dan persiapan rapi bukan sekadar hadir tanpa daya saing.

"Biarpun begitu keputusan akhir kini bergantung kepada pihak pengurusan SIC yang sedang menilai keutamaan lain, namun saya yakin pengorbanan semua pihak mampu menjadikan impian ini realiti di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober," katanya.

Untuk info, Hakim Danish merupakan pelumba muda negara yang sedang beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim ini.

Hakim Danish pada ketika ini berada di tangga ketujuh dengan 51 mata beraksi dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP manakala mendahului kedudukan keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan 154 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram