
JAGUH Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar terpaksa akur tewas kepada petarung Colombia-Amerika, Diego Paez dalam aksi penuh sengit ONE Fight Night 32 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Paez yang sebelum ini gagal melepasi ujian hidrasi dan timbangan memperoleh kemenangan 2-1 berdasarkan keputusan 'split decision' dari juri selepas pertarungan tiga pusingan penuh dalam kategori flyweight.
Kekalahan berkenaan merupakan kekalahan ketiga buat Johan Ghazali atau mera dengan sapaan Jojo dalam karier profesionalnya dan jelas memberikan tamparan emosi yang berat buat atlet muda berusia 18 tahun itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Gugur air mata jantan Jojo Ghazali dalam dakapan ibu lepas tewas di tangan jaguh Amerika
BACA LAGI: [VIDEO] 'The fight still on', Jojo Ghazali kekal bertarung lepas jaguh Amerika 'berdrama'
Sementara itu, kemenangan tersebut merupakan kejayaan pertama buat Paez dalam pentas ONE Championship selepas sebelum ini tewas kepada Sean Climaco dari Amerika Syarikat pada ONE Fight Night 28, Februari lalu.
Bagaimanapun, pertarungan berkenaan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat sukan tempur susulan insiden 'eye poke' yang dilaporkan tidak dihentikan oleh pengadil walaupun berlaku sebanyak dua kali dalam perlawanan.
Menurut laporan Sportskeeda, Jojo terkena cucukan jari ke mata sekitar dua minit pada pusingan pertama, dan sekali lagi pada penghujung pusingan ketiga tetapi, tiada sebarang tindakan diambil oleh pengadil untuk menghentikan pertarungan atau mengenakan penalti terhadap Paez.
Kembali dengan LEBIH HEBAT wahai anak muda
SATU MALAYSIA dekat belakang awak Johan Ghazali
Berita lanjut di @ASTROARENA pic.twitter.com/rOLAoefXRN
— Kamal Nizam (@kamalnizamm) June 7, 2025
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketegasan pengadilan dalam menangani pelanggaran peraturan. Bukan itu sahaja, insiden 'eye poke' menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan atlet yang akhirnya memberi kesan kepada momentum mereka ketika pertandingan.
Dalam pada itu, meskipun tidak menyentuh mengenai insiden tersebut, Johan Ghazali menegaskan bahawa dia tidak mahu memberikan banyak alasan di sebalik kekalahan tipisnya di tangan Paez itu.
“Pertama sekali, terima kasih semua. Jojo tak nak bagi alasan banyak... cuma terima kasih semua dan jumpa pada pertarungan seterusnya, Insya-ALLAH,” katanya memetik laporan daripada Astro Arena.
Untuk rekod, Johan Ghazali setakat ini sudah merekodkan enam kemenangan dan tiga kekalahan sejak menyertai ONE Championship. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram