
SALAH sebuah pasukan yang dilaporkan tidak akan bersaing dalam arena bola sepak musim depan ialah Sri Pahang FC selepas pemiliknya, Tengku Abdul Rahman memilih untuk tidak lagi berada dalam struktur pengurusan kelab.
Meskipun ia masih belum disahkan pihak atasan, pelbagai laporan sudah mengesahkan hal demikian dengan penyokong juga sudah bersedia untuk menyaksikan skuad Tok Gajah 'berkubur' dalam masa terdekat.
Jadi, bagi meneruskan karier masing-masing, beberapa nama besar dalam pasukan dilaporkan bersedia mencari majikan baharu, termasuk ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang difahamkan bakal mengendalikan Kuala Lumpur (KL) FA musim depan.
BACA LAGI: Pernah beri 'hint' mahu bersara, Fandi Ahmad kini dikait tugas baharu di Lembah Klang
BACA LAGI: Fandi dah siap bungkus barang, pulang Rabu ini dan tak tahu akan kembali
Skuad Tok Gajah dilaporkan tidak akan berentap musim depan akibat masalah kewangan. — Facebook/Sri Pahang FC
Ini selepas kelab Lembah Klang berkenaan mula melakukan rombakan dengan melepaskan pengendali terdahulu, Miroslav Kuljanac bagi memberi laluan kepada legenda pasukan terbabit.
Oleh itu, tugasan awal yang perlu dilakukan jurulatih kelahiran Singapura itu sekiranya dilantik adalah dengan membawa masuk nama-nama baharu bagi memperkuatkan skuad Warga Kota.
Rekrut awal wajar diketengahkan Fandi sudah tentu adalah nama-nama besar dari skuad Tok Gajah yang sedang sibuk mencari majikan baharu bagi musim depan dengan terdapat tiga pemain cukup sesuai.
1. Ibrahim Manusi
Nama pertama yang perlu berada dalam senarai ini sudah tentu bintang kian bersinar, Ibrahim Manusi selepas reputasinya mula kedengaran setelah aksi memukau ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25.
Meskipun sudah lama disanjung peminat Tok Gajah, pemain berusia 23 tahun itu semakin dikenali ramai apabila berjaya melakukan bentesan kemas dalam mematahkan serangan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Reputasi Ibrahim semakin kedengaran selepas aksi memukau di pentas final Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC
Prestasi memukau yang turut ditonjolkan sepanjang musim tersebut membuatkan pelbagai kelab Liga Super bersedia mendapatkan khidmatnya jika Sri Pahang FC tidak lagi bersaing pada kempen akan datang.
Bagaimanapun, dengan masih terdapat pelbagai kelemahan perlu diatasi, adalah lebih baik sekiranya Ibrahim mengikuti jejak Fandi ke Lembah Klang kerana jurulatih itu lebih mengenalinya.
Selain dapat terus menimba ilmu dari legenda Singapura itu, minit permainan anak jati Paya Jaras, Selangor tersebut turut terjamin dengan kerjasama kedua-duanya berada dalam keadaan terbaik ketika ini.
2. Adam Nor Azlin
Sekiranya skuad Warga Kota melakukan rombakan, tidak mustahil sekiranya bek tengah utama pasukan, Giancarlo Gallifuoco bersedia mendapatkan khidmatnya dengan Selangor FC dan JDT cukup berminat.
Oleh itu, Fandi sudah tentu memerlukan seorang pemain berpengalaman di posisi tersebut dalam memastikan gawang KL FA tidak mudah dibolosi selain dapat menjadi contoh terbaik bagi mana-mana 'ubi muda'.
Adam kembali ke tahap terbaik sejak dipinjamkan ke skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Antara pilihan terbaik dimilikinya sudah tentu tonggak Sri Pahang FC musim ini, Adam Nor Azlin yang berjaya kembali ke prestasi terbaik sejak menyertai skuad Tok Gajah secara pinjaman.
Dalam 28 penampilan dicatatkan secara keseluruhan, pemain berusia 29 tahun itu menampilkan mutu pertahanan memukau di samping berjaya membuktikan kebolehannya untuk mencetak gol sekiranya diperlukan.
Ini menjadikannya calon terbaik untuk diletakkan dalam benteng pertahanan skuad Warga Kota dengan bimbingan Fandi Ahmad akan membantunya meneruskan prestasi meyakinkan ditampilkan musim lalu.
3. Nor Azam Azih
Meskipun tidak lagi berada dalam prestasi terbaik, Nor Azam Azih masih menjadi nadi utama dalam skuad Tok Gajah itu musim lalu dengan 22 penampilan Liga Super dicatatkan.
Rekod tersebut membuktikan pemain kelahiran Maran, Pahang itu amat dipercayai Fandi Ahmad bagi mengawal tempo permainan meskipun terdapat pengganti yang lebih muda di posisi berkenaan seperti Saiful Jamaluddin.
Nor Azam masih boleh beraksi secara konsisten dalam Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC
Pengalaman dimiliki Nor Azam merupakan satu lagi apsek utama yang sukar ditonjolkan mana-mana pemain lain selepas dia juga pernah beraksi buat skuad kebangsaan sebanyak 24 kali sepanjang kariernya.
Jadi, sekiranya Sri Pahang FC 'terkubur' bagi kempen akan datang, Fandi perlu segera mengajak tonggak utama skuad Tok Gajah itu ke Lembah Klang bagi meneruskan gandingannya di samping Ibrahim Manusi.
Bagaimanapun, rasa sayang pemain berkenaan terhadap negeri kelahirannya itu akan menyukarkan hasrat tersebut memandangkan Nor Azam pernah menolak tawaran kelab luar demi membuktikan kesetiaannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram