[VIDEO] Gandingan Quaresma-Joao Tomas bawa kemenangan tapi fans kecewa Darul Aman sepi


  • Podium
  • Ahad, 04 Mei 2025

Kehadiran bekas bintang Portugal, Ricardo Quaresma dan Joao Tomas,yang buat julung kalinya menyarung jersi All Star Kedah menjadi antara tumpuan utama perlawanan. — Facebook/KDAFC

PERLAWANAN persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia bukan sekadar pertandingan, tetapi satu pertemuan penuh nostalgia yang menghiburkan para peminat.

Aksi persahabatan itu merupakan anjuran bersama Sang Kenari dan Malaysia Museum Football yang menampilkan barisan bekas pemain kebangsaan dan Kedah yang cukup dikenali satu ketika dahulu.

Antara nama bekas pemain yang turut serta pada aksi kali ini adalah Nafuzi Zain, Helmi Eliza dan juga Khairul Helmi yang mewakili Kedah, manakala Amri Yahya serta Faiz Subri bersama All Star Malaysia.

BACA LAGI: Ivan Mamut luah kecewa, gaji tak dibayar lebih 9 bulan

BACA LAGI: 'Dulu gaji sangat tinggi cecah RM100,000, terima kasih XOX berjaya letakkan Perak kedudukan yang betul'

Lebih menarik lagi, perlawanan itu turut diserikan dengan kehadiran bekas bintang Portugal, Ricardo Quaresma dan Joao Tomas yang hadir menyarung jersi pasukan All Star Kedah buat kali pertama.

Kemunculan legenda Portugal itu memeriahkan lagi suasana di samping tampil memberi impak besar apabila kedua-duanya membantu kemenangan Kedah 4-3.

Quaresma membantu mencetak satu gol, manakala Tomas pula meledak dua jaringan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah.

Dalam aksi yang berlangsung pada Sabtu itu, walaupun All Star Malaysia cuba bangkit di babak kedua, kelebihan awal Kedah cukup untuk memastikan kemenangan.

Manisnya, perlawanan itu bukan sahaja menyatukan kembali bekas pemain terkenal, tetapi juga menghidupkan semangat bola sepak klasik yang dirindui peminat.

Bagaimanapun, ramai penyokong meluahkan kekecewaan apabila suasana di Stadium Darul Aman kelihatan suram tanpa kehadiran padu 'ekor' Hijau Kuning, meskipun perlawanan itu dibintangi oleh dua legenda Portugal yang sepatutnya menjadi tarikan utama.

“Sedih tengok stadium kosong macam ini, pergi mana semangat hampa semua? Macam manalah penaja nak masuk kalau penyokong boikot?,” kata Mizzie Sulmber.

“Penonton sikit saja wei yang datang tengok, sedihlah ini macam,” kata Pidah Saleh.

“Perlawanan persahabatan pun tiada orang, inikan pula perlawanan sebenar team Kedah, macam manalah nak terus hidup kalau fans sendiri tak support,” kata Adli Affandi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram