
LEGENDA berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan bahawa beliau tidak akan bersara dan akan terus berperanan sebagai atlet berbasikal profesional.
Keputusannya itu menerima sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut menyokong hasrat legenda berbasikal negara untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelumba trek profesional dalam sirkit yang dianjurkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan untuk merealisasikan impian tersebut, lapor Stadium Astro.
BACA LAGI: Siap kemas beg, tak mustahil tonggak Kuching City kembali ke JDT
BACA LAGI: Keputusan tepat, bekas prospek TFC lebih bersinar lepas sertai Perak
"Datuk Azizulhasni akan terus mengikuti program latihan sebagai seorang atlet profesional. Beliau juga akan menyertai perlumbaan-perlumbaan yang diiktiraf UCI mewakili ‘continental track team’, Team Azizul, yang berdaftar dengan UCI.
"Dengan keputusan beliau untuk meneruskan latihan dan bertanding, Datuk Azizulhasni akan berusaha mempersiapkan dirinya bagi mengejar matlamat dalam temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
"Keputusan itu dibuat Datuk Azizulhasni kerana beliau mahu Kementerian, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan agensi utama lain seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) memberikan tumpuan kepada pembangunan pelumba-pelumba lain seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Ridhwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Farid,” katanya.
Ia bermakna Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman akan menguruskan sendiri program latihannya dengan pemantuan daripada Pengarah Teknikal PKBM, John Beasley, dan akan menentukan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan yang dirasakan sesuai bagi mengekalkan tahap prestasinya.
Di samping itu, Azizulhasni juga memutuskan untuk tidak menyertai Sukan SEA 2025 bagi memberi peluang kepada pelumba muda dan penyertaan dalam kejohanan utama akan bergantung pada penilaian prestasinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram