TBG kempunan ke Top 5, chant ‘Bila nak bayar gaji’ gamatkan Manjung


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Perak FC terpaksa menelan pahit apabila tewas di laman sendiri dengan kekalahan tipis 0-1 di tangan Sri Pahang.

JARINGAN tunggal permainan daripada T Saravanan pada minit ke-83 menyaksikan Sri Pahang FC berjaya menundukkan Perak FC dalam aksi di Stadium Manjung, Perak pada Sabtu.

Pemain gantian skuad Tok Gajah itu berjaya memecah kebuntuan tidak lama selepas dibawa masuk Fandi Ahmad apabila dia menampan masuk hantaran rendah Baqiudin Shamsudin dalam kotak penalti tuan rumah.

Kemenangan itu pasti menyuntik semangat buat Sri Pahang FC memasuki penghujung kempen Liga Super 2024/25 selain memberi keazaman buat mereka menjelang final Piala Malaysia nanti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Memalukan', Jojo sound aksi 'panas' Face-Off Fury Championship

BACA LAGI: [VIDEO] Berpeluh ikat Kedah bukti Sabah tak boleh hilang Daniel Ting

Jaringan tunggal Saravanan (tengah) memastikan Sri Pahang mencuri tiga mata penuh di Ipoh.

Bagaimanapun, kekecewaan pasti jelas dirasakan buat anak-anak buah Yusri Che Lah yang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri meskipun beberapa percubaan berbahaya sempat dilakukan.

Kekalahan itu turut menyaksikan mereka gagal mendaki ke kelompok lima teratas Liga Super dengan hanya satu aksi berbaki iaitu dalam kunjungan ke Stadium Likas, Sabah pada 20 April nanti.

Penyokong juga seperti sukar menerima keputusan itu apabila memasuki minit-minit akhir permainan, kedengaran sorakan berbunyi ‘Bila nak bayar gaji?’ yang diajukan kepada pihak pengurusan.

Ini selepas khabar angin terkini mengatakan kelab Utara tanah air tersebut sekali lagi berdepan isu tunggakan bayaran sehingga memberi impak buruk terhadap prestasi pasukan.

Situasi itu sememangnya sukar diterima kerana tidak lebih lima tahun lalu, Perak FC sudah mengalami isu kewangan sehingga menyaksikan mereka tersingkir ke Liga Perdana.

Skuad TBG masih boleh mendaki satu anak tangga ke kedudukan keenam Liga Super dengan syarat Kuala Lumpur (KL) City yang berada di atas mereka mengalami kekalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram