
MESKIPUN terdapat ura-ura mengatakan Mohamed Salah akan kekal di Liverpool musim depan, pihak pengurusan kelab masih berdiam diri kerana enggan memberi sebarang harapan terhadap penyokong.
Penyerang kebangsaan Mesir itu difahamkan masih bertarik-tali dalam proses rundingan kontrak kerana mahu mendapatkan gaji lebih lumayan dalam musim ke-10 di kelab tersebut.
Bagaimanapun, meskipun sumbangannya ketika ini cukup mengagumkan, pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) terbabit enggan berbuat demikian kerana usia pemain itu sudah semakin lanjut.
BACA LAGI: Setanding Takefusa Kubo, 3 legenda setuju Arif Aiman mampu jadi Pemain Terbaik Asia
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara skil luar biasa, Arif Aiman Jepun kena tarik sampai baju nak terkoyak
Liverpool enggan menawarkan gaji lebih tinggi kepada Salah yang semakin berusia. — Agensi
Bagi mereka, langkah lebih baik adalah dengan membawa masuk penyerang sayap baharu yang lebih muda dan memberi kepercayaan penuh kepada Arne Slot sebagai pengurus untuk mencungkil bakat baharu.
Malah, skuad The Reds seperti sudah memiliki pengganti kepada Mo Salah apabila khabar angin mengatakan mereka sedang cuba mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Jepun, Takefusa Kubo.
Dia yang pernah mencuri nama selepas menyertai Real Madrid pada usia muda berjaya membuktikan nilai sebenar dengan tujuh gol dan empat bantuan jaringan dalam 43 penampilan buat Real Sociedad.
Meskipun catatan tersebut jauh di belakang rekod seorang penyerang sayap elit, dia yang baru berumur 23 tahun dilihat pengganti berbaloi kepada Salah selain sesuai dengan pelan jangka masa panjang Liverpool.
Kubo dilaporkan sudah berada dalam radar Liverpool sejak 2024. — Agensi
Ini juga bukanlah kali pertama pemain itu dikaitkan dengan skuad The Reds kerana pada awal tahun lalu, perbincangan kedua-dua kelab itu pernah dilangsungkan, namun tiada sebarang perkembangan dikongsikan.
Jadi, dengan Salah kini hampir menamatkan tempoh perkhidmatan bersama Liverpool, terdapat kemungkinan perpindahan tersebut akan dimeterai pada musim panas depan.
Berdasarkan penilaian semasa, kelab EPL tersebut hanya perlu membayar £50 juta (RM286.9 juta) untuk menebus kontraknya yang hanya bakal tamat pada Jun 2029.
Harga diletakkan itu boleh dikatakan masih berbaloi dalam pasaran semasa, namun Liverpool perlu segera memandangkan terdapat pasukan lain yang turut berminat dengan khidmatnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram