GEMPA bumi dahsyat dengan kekuatan 7.7 magnitud melanda wilayah Sagaing, Myanmar, pada 28 Mac lalu, mengakibatkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa yang signifikan.
Sehingga 3 April angka kematian telah meningkat kepada 3,145 orang, dengan 4,589 cedera dan 221 lagi dilaporkan hilang.
Gegaran kuat tersebut turut dirasai di negara jiran seperti Thailand, yang mana beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk.
BACA LAGI: Kontrak Arab Saudi dah nak habis, Cristiano Ronaldo idam pulang ke Real Madrid
BACA LAGI: [VIDEO] Rufino Segovia antara 3 wira 'last minute' bantu kelab Liga Super terus bernafas
Kesan gempa bumi itu turut menyebabkan kerosakan teruk pada beberapa lapangan terbang utama di negara tersebut.
Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw mengalami kerosakan serius apabila menara kawalan trafik udara runtuh, mengorbankan enam kakitangan yang bertugas.
Selain itu, landasan dan dua pesawat di lapangan terbang tersebut turut mengalami kerosakan akibat gempa tersebut.
Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay juga terjejas, menyebabkan gangguan sementara kepada operasi penerbangan.
Kerosakan pada infrastruktur penerbangan itu telah menyukarkan usaha bantuan dan pemulihan, memandangkan lapangan terbang memainkan peranan penting dalam penghantaran bantuan kemanusiaan dan peralatan penyelamat ke kawasan yang terjejas.
Menerusi perkongsian Penang Brotherhood, pemain sayap Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung, dilaporkan masih berada di Myanmar selepas pulang ke Yangon dan dijangka terlepas perlawanan menentang Penang FC pada Sabtu (5 April).
Ketiadaan Htet Aung dalam perlawanan antara Negeri Sembilan dan Penang itu dianggap sebagai satu kelegaan buat penyokong Harimau Kumbang.
Pemain sayap lincah dari Myanmar itu terkenal dengan kepantasan, kawalan bola yang baik serta keupayaan mencipta peluang yang sering menjadi ancaman kepada barisan pertahanan lawan.
Dengan rekod empat gol dan dua bantuan jaringan musim ini bersama Negeri Sembilan, ketiadaannya membuka ruang buat pasukan Penang mengawal bahagian sayap dengan lebih yakin.
Penyokong Penang turut menyuarakan rasa lega di media sosial, memandangkan Htet Aung sering mencipta masalah dalam pertembungan terdahulu.
Walaupun Negeri Sembilan masih memiliki pemain berbakat lain seperti Takumi Sasaki, kehilangan Htet Aung dijangka melemahkan daya serangan mereka, terutamanya dalam perlawanan penting bertemu Penang di halaman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
