Baru nak mula panas di Australia, bintang pinjaman JDT terpaksa berehat 3 bulan


  • Podium
  • Jumaat, 04 Apr 2025

Skuad Harimau Selatan melepaskan beberapa pemainnya secara pinjaman demi minit permainan masing-masing. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELAIN meminjamkan lambakan pemain ke pasukan sekitar Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) turut melepaskan beberapa nama ke luar negara demi meraih minit permainan lebih kerap.

Salah seorang yang diberikan pelepasan sedemikian ialah penyerang sayap kelahiran Portugal, Chico Geraldes selepas pemain itu gagal merebut tempat sejak tiba pada awal musim.

Dia yang pernah menyertai beberapa kelab sekitar Eropah seperti Sporting CP di Portugal serta Eintracht Frankfurt di Jerman jelas bergelut untuk menyesuaikan diri dengan Liga Super.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada tempat di JDT, Francisco Geraldes ikut jejak Liridon 'dihantar' ke Australia

BACA LAGI: Mungkin dapat percuma, Jalil Elias ikut jejak Chico Geraldes tak balik JDT

Geraldes hanya sempat merekodkan satu penampilan bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hasilnya, pemain berusia 29 tahun berkenaan hanya sempat merekodkan satu penampilan, iaitu dalam kancah Piala FA sebelum dipinjamkan keluar pada jendela perpindahan kedua Liga Super.

Geraldes bagaimanapun tidak memilih untuk kembali ke Eropah apabila memutuskan kekal dalam arena bola sepak AFC dengan berkelana ke Australia dan menyertai Wellington Phoenix secara pinjaman.

Perpindahan yang dimeterai pada Februari lalu itu membawa hasil kerana dia merekodkan lima penampilan dalam divisyen utama mereka dengan satu gol dan satu bantuan jaringan dicatatkan.

Namun, pada Jumaat, satu berita menyedihkan diterima selepas Wellington Phoenix mengesahkan pemain berkenaan terpaksa berehat sehingga tiga bulan akibat kecederaan.

"Geraldes mengalami kecederaan lutut yang menamatkan kempennya kali ini. Berdasarkan pemeriksaan, pelapik lutut kiri (left meniscus) pemain itu sudah koyak dan dia akan berehat selama tiga bulan," tulis kelab itu.

Kehilangan penyerang sayap tersebut sudah tentu menjadi tamparan hebat buat pasukan bimbingan Giancarlo Italiano yang kini menduduki tangga ke-11 A-League.

Bagaimanapun, kecederaan tersebut tidak menjejaskan hubungannya dengan kelab kerana mereka masih berhasrat untuk mengekalkan khidmatnya bagi kempen akan datang.

Sekiranya kelab Australia itu mahu berbuat demikian, ia akan membawa keuntungan buat JDT yang mampu mengaut keuntungan sehingga €1 juta (RM4.9 juta) berdasarkan nilai pasaran semasa.

Tetapi, Wellington Phoenix hanya perlu membayar jumlah tersebut sebelum jendela perpindahan akan datang kerana semakan ketika ini mendapati kontraknya bersama skuad Harimau Selatan hanya akan berakhir pada Jun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram