Jangan biar berulang, 3 kisah prospek Kedah malap termasuk Fayadh perlu jadi teladan Afeeq Iqmal


  • Podium
  • Isnin, 31 Mac 2025

Afeeq Iqmal diangkat sebagai prospek baharu Sang Kenari selepas aksi memuaskan ketika berdepan JDT. — Facebook/KDA FC

KEKALAHAN memalukan 1-6 dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) sedikit diubati apabila penyokong dapat menyaksikan persembahan berani daripada Afeeq Iqmal Rosli.

Dia yang menjaringkan gol sagu hati buat skuad Sang Kenari wajar dipuji kerana beberapa kali cuba mengatasi bek kiri lawan, Oscar Arribas yang jauh lebih berpengalaman.

Persembahan memukau itu membuatkan penyokong mula meletakkan anak jati Baling, Kedah itu sebaris dengan bakat tempatan yang pernah dilahirkan pasukan di Negeri Jelapang Padi tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebiji gol ibarat kemenangan, fans Kedah harap anak Baling dijaga molek-molek

BACA LAGI: Hatrik Bergson kuasai Darul Aman, momen anak jati Baling ‘ayam-ayamkan’ Syihan ubati hati fans Kedah

Baddrol merupakan antara produk terbaik pernah dilahirkan Kedah. — Facebook/Kedah FA

Ini termasuk Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon serta Rizal Ghazali yang masing-masing berjaya melangkah ke tahap baharu dengan mewakili Harimau Malaya dalam karier mereka.

Bagaimanapun, di sebalik lambakan bakat digilap dalam skuad Sang Kenari, ada juga yang tidak dapat menyerlahkan potensi sebenar apabila gagal menampilkan peningkatan dalam diri masing-masing.

Meskipun ada sesetengah daripada mereka beraksi di Liga Super, kebolehan pernah dipamerkan satu ketika dahulu meletakkan jangkaan tinggi terhadap mereka dalam kalangan penyokong.

Berdasarkan penilaian Majoriti, berikut merupakan tiga nama yang pada awalnya bersinar bersama skuad Sang Kenari pada usia muda sebelum malap di kemudian hari.

1. Fayadh Zulkifli Amin

Selepas memulakan karier bersama Kedah pada 21 tahun, ramai penyokong beranggapan Fayadh Zulkifli Amin merupakan permata baharu Kedah yang akan menguasai posisi sayap serangan buat bertahun-tahun lamanya.

Ini selepas pemain serangan terbabit terlibat dalam 13 perlawanan Liga Super dalam tahun pertamanya bersama kelab terbabit sebelum membantu mereka menjulang Piala FA 2019.

Tidak cukup dengan itu, bakat Fayadh turut bersinar ketika Kedah berentap di pentas Asia tiga tahun lalu dengan empat jaringan direkodkan daripada empat penampilan.

Fayadh gagal menepati ramalan yang pernah diletakkan di bahunya. — Facebook/KDA FC

Namun, potensinya selepas itu mula terpadam selepas anak jati Kedah tersebut mengalami kemarau gol cukup teruk dengan tiada sebarang sumbangan di hadapan pintu gawang dicatatkan.

Ketumpulannya membuatkan ramai beranggapan bakat yang satu ketika dahulu dimiliki Fayadh sudah meninggalkan dirinya meskipun dia tidak pernah alami isu kecederaan serius.

Kini, dia yang sudah berusia 26 tahun masih kekal bersama skuad Sang Kenari, namun sumbangannya semakin mengecewakan dengan hanya satu jaringan direkodkan dalam semua pertandingan musim ini.

2. Fazrul Danel

Sebelum Fayadh Zulkifli, seorang lagi bakat muda mencipta debut bersama skuad Sang Kenari pada tahun sebelumnya iaitu Fazrul Danel yang kali pertama diberikan peluang di bawah Nidzam Adzha.

Ketika itu, lambakan pemain tengah dimiliki Kedah seperti Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi serta Amirul Hisyam Awang Kechik, namun peluang masih diraih Fazrul yang merekodkan 15 penampilan Liga Super dalam musim pertamanya.

Nama Fazrul mula meningkat selepas membantu skuad Sang Kenari menjulang Piala FA 2019.

Bagaimanapun, bakat dan reputasinya mula berkembang selepas dia menjadi wira buat pasukannya dengan menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan akhir Piala FA 2019.

Tetapi, pada tahun-tahun berikutnya, pemain tengah berkenaan gagal menepati ramalan ramai untuk menyaksikannya menjadi permata pasukan apabila dia terus hilang dalam bayang-bayang sendiri.

Meskipun kini masih beraksi buat skuad Sang Kenari, Fazrul kerap diletakkan di bangku simpanan dan hanya dimasukkan pada babak kedua ketika pasukannya memerlukan pemain lebih cergas.

3. Farhan Roslan

Tubuh kecil serta kelincahan dipamerkan di atas padang menyaksikan pemain sayap kelahiran Kedah, Farhan Roslan diberi julukan 'Messi Kedah' oleh sebahagian penyokong Sang Kenari.

Dia yang kali pertama diletakkan dalam skuad Sang Kenari ketika mereka beraksi di Liga Perdana 2015 mencuri perhatian ramai selepas membantu kelab tersebut kembali ke divisyen teratas.

Keupayaan dan magis dibawa di atas padang berjaya membawa pelbagai kejayaan buat Kedah, termasuk dua gelaran Piala FA serta Piala Malaysia 2016 yang pasti diingati sehingga hari ini.

Julukan 'Messi Kedah' yang diberikan kepada Farhan Roslan meletakkan tekanan hebat kepadanya.

Bakat dimiliki Farhan bagaimanapun kian pudar pada tahun-tahun berikutnya apabila dia terpaksa berpindah sebanyak beberapa kali dengan status pinjaman demi mendapatkan minit permainan.

Kini, dia yang baru sahaja berusia 28 tahun masih beraksi dalam Liga Super bersama Sabah FC dengan sentuhannya kembali terserlah selepas diletakkan sebagai pemain tengah menyerang.

Meskipun dia masih memiliki beberapa musim untuk menyinar, lambakan pemain tempatan ketika ini pasti menyulitkan usahanya untuk kembali bersinar, apatah lagi dipanggil ke dalam Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram