[VIDEO] Satu masa dahulu Liga Perdana mampu tarik minat 3 import berstatus bintang beraksi di Malaysia


  • Podium
  • Sabtu, 22 Mac 2025

Diouf sempat menjaringkan empat gol daripada 10 penampilan.

SAINGAN bola sepak Malaysia dilaporkan bakal diserikan kembali dengan kehadiran semula Liga Perdana musim hadapan.

Liga Perdana adalah kejohanan kedua tertinggi dalam piramid bola sepak Malaysia yang pernah menyaksikan pasukan-pasukan seperti Selangor, Kedah serta Felda United muncul juara.

Walaupun begitu, saingan Liga Perdana telah dibubarkan bermula 2023 dan digantikan dengan Piala MFL yang lebih menumpukan kepada bakat-bakat muda.

BACA LAGI: Tidak mustahil Harimau Malaya terbang ke Sabah, Sarawak selepas SSI — FAM

BACA LAGI: Gembira naik motor di Bali, Indonesia mungkin destinasi baharu Ronnie Fernandez musim depan

Namun sehingga kini kehadiran semula Liga Perdana tidak dapat dipastikan dengan pihak pengelola Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengunci mulut tentang khabar angin itu.

Akan tetapi kewujudan Liga Perdana sebenarnya bagus untuk bola sepak Malaysia kerana kejohanan itu pernah menarik nama-nama besar beraksi di hierarki kedua Liga Malaysia.

Majoriti senaraikan tiga import berstatus bintang pernah beraksi di Liga Perdana:

1. El Hadji Diouf

Kejutan dirasai dalam Liga Perdana 2015 selepas Sabah FC berjaya membawa masuk seorang ikon bola sepak di Eropah, El Hadji Diouf yang pernah menjulang pelbagai kejayaan sepanjang kariernya.

Dia yang pernah menyarung jersi Liverpool FC dan Leeds United mengambil keputusan menyertai kelab Borneo tanah air berkenaan pada penghujung kariernya.

Meskipun pasukan itu digeruni ketika ini, reputasi mereka kurang dikenali beberapa tahun lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keputusan Diouf menyertai skuad Sang Badak.

Tetapi, tahunnya bersama Sabah bukanlah sesuatu yang amat diingati kerana dia hanya menjaringkan empat gol daripada 10 penampilan.

Di samping itu, penyokong juga seakan-akan tidak merindui kelibatnya kerana dia pernah menyatakan keinginan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika masih bergelar kapten Sabah.

2. Zah Rahan Krangar

Zah Rahan Krangar merupakan pemain bola sepak profesional dari Liberia yang pernah beraksi bersama Felda United dari 2014 hingga 2017.

Dia menyertai kelab itu selepas beraksi untuk Persipura Jayapura di Indonesia, membawa pengalaman yang luas dalam saingan liga Asia.

Sepanjang tempohnya bersama Felda United, Zah Rahan menjadi tonggak utama di bahagian tengah dan memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan.

Pada musim pertamanya, beliau membantu Felda United meraih tempat kedua dalam Liga Premier Malaysia dan mara ke final Piala FA Malaysia.

Kejayaan ini membuka jalan untuk kelab itu kembali ke Liga Super Malaysia pada tahun berikutnya.

Walaupun Felda United tidak berjaya merangkul kejuaraan utama semasa Zah Rahan bersama mereka, kehadirannya memberikan impak besar kepada pasukan.

Zah meninggalkan kelab itu pada 2017 selepas mencatat lebih 80 penampilan dan menjaringkan lebih 20 gol, menjadikannya salah seorang pemain import terbaik yang pernah bermain untuk Felda United.

3. Braulio Nobrega

Braulio Nobrega, seorang penyerang dari Sepanyol, menyertai Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada musim 2014.

Pada musim tersebut, dia menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan 9 gol dalam saingan Liga Premier Malaysia.

Sumbangan gol dia membantu JDT II mencapai kedudukan kelima daripada 12 pasukan dalam liga.

Selepas musim 2014, Braulio tidak lagi bersama JDT II, dan pada musim 2015, penjaring terbanyak pasukan adalah Shahril Ishak dengan sembilan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram