Bersama JDT, duo bintang Selangor pernah julang Piala Cabaran sebelum sertai Gergasi Merah


  • Podium
  • Isnin, 24 Feb 2025

Selangor berjaya menjuarai Piala Cabaran musim ini sekali gus menamatkan penantian sedekad tanpa trofi.

SELANGOR FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran 2024/25 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu (22 Februari).

Kejayaan itu cukup bermakna buat Gergasi Merah yang akhirnya menamatkan penantian sedekad selepas kali terakhir menjulang trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada Piala Malaysia 2015.

Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi sebelum itu mendapat tonik terbaik selepas dianugerahkan kemenangan 3-0 pada perlawanan akhir pertama pada Sabtu lalu.

BACA LAGI: EPL jelaskan insiden kontroversi VAR selamatkan Man United di Everton

BACA LAGI: Kejayaan JDT jadi faktor utama penetapan tarikh final Piala Malaysia

Ini gara-gara PDRM FC selaku penyandang juara tewas 2-3 dalam perlawanan itu selepas didapati menurunkan pemain yang dikenakan penggantungan perlawanan.

Namun adakah anda tahu, dua bintang Selangor pernah mendakap trofi Piala Cabaran sebelum memenanginya bersama Gergasi Merah.

Majoriti senaraikan dua pemain Selangor yang terlebih dahulu menjuarai Piala Cabaran sebelum sertai Gergasi Merah:

Fazly ketika mewakili JDT II dan menjuarai Piala Cabaran 2019.

1. Fazly Mazlan

Menyertai Selangor sejak 2021, Fazly Mazlan akhirnya berjaya membantu Gergasi Merah mendakap trofi pertama selepas sedekad tidak memenangi apa-apa kejohanan di dalam negara.

Sebelum memenangi Piala Cabaran bersama Selangor, Fazly terlebih dahulu telah mendakap trofi tersebut pada 2019 ketika beraksi buat Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Antara momen paling diingati Fazly adalah dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Cabaran 2019, JDT II menewaskan Sarawak 3-1, yang mana dia memberikan hantaran silang untuk menghasilkan gol penyamaan oleh Nicolas Fernandez pada minit ke-26.

Sam (kanan) menjuarai Piala Cabaran bersama-sama Darren Lok di JDT II.

2. Samuel Somerville

Samuel Somerville pernah beraksi sebagai penjaga gol untuk JDT II dari 2016 hingga 2019 sebelum menyertai Selangor pada 2021.

Sepanjang tempoh tersebut, Samuel atau lebih dikenali sebagai Sam berjaya melakukan 36 penampilan dalam Liga Perdana bersama JDT II.

Pencapaian tertinggi bersama JDT II adalah memenangi Piala Cabaran 2019, yang mana dia membantu Harimau Selatan menewaskan UKM FC dalam perlawanan akhir kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram