Safawi Rasid-Akhyar Rashid turun latihan, fans Sang Penyu doa bukan harapan palsu, beraksi lawan JDT


  • Podium
  • Selasa, 14 Jan 2025

Safawi dan Akhyar merupakan pemain pinjaman daripada JDT.

PENCAPAIAN melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2024/25 sememangnya sesuatu yang diraikan penyokong Terengganu FC dalam misi mereka menamatkan penantian menjulang kejuaraan.

Bagaimanapun, perasaan itu hanya berkekalan sementara kerana skuad Sang Penyu akan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang seakan-akan mustahil untuk disingkirkan.

Berdasarkan rekod mereka di peringkat domestik, kelab Selatan tanah air berkenaan hanya gagal merekodkan kemenangan dalam satu perlawanan, iaitu ketika aksi Liga Super berdepan PDRM FC di tempat lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anda terlalu tua', Liridon Krasniqi balas kritikan, 'payung' skil bersama FC Schaffhausen

BACA LAGI: ‘Kehilangan’ Murilo Henrique dalam sesi latihan JDT terjawab, peliknya tak cukup bagus sampai ‘diturunkan pangkat’

Prestasi memberangsangkan itu sudah cukup untuk menceritakan misi berdepan skuad Harimau Selatan sesuatu perkara getir buat Terengganu FC sehingga ada yang mula menelan realiti mengenai peluang mereka melangkah ke perlawanan akhir.

Tidak cukup dengan itu, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tersebut turut bakal kehilangan dua tonggak utama, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid disebabkan terma-terma ditetapkan dalam kontrak pinjaman mereka.

Ketiadaan pemain yang kerap digandingkan di posisi sayap menyerang itu hanya akan memberi kesan terhadap peluang Sang Penyu mencetak lebih banyak jaringan meskipun terdapat pelbagai pilihan di barisan serangan.

Oleh itu, ketiadaan kedua-dua pemain pinjaman JDT itu sedikit sebanyak menutup peluang Terengganu FC untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 buat dua edisi berturut-turut.

Namun begitu, hantaran yang dimuat naik oleh Terengganu FC dalam media sosial memberikan sedikit harapan buat penyokong Sang Penyu untuk berdepan JDT.

Ini kerana, dalam hantara itu Safawi dan Akhyar turut menyertai sesi latihan pasukan sekali gus penyokong berharap mereka diberikan keizinan untuk beraksi berdepan majikan sendiri.

"Rasa-rasa Safawi dengan Akhyar main tak lawan dengan JDT? Rasa macam tak dapat," kata Muhammad Arizal.

"Kelibat Safawi dengan Akhyar ada dekat padang latihan untuk perlawanan penting. Mereka boleh main ke lawan JDT? Kalau dah boleh main itu maknanya Terengganu dah tebus kontrak atau dah bayar gaji," ujar Ilham Othman.

"Safawi dan Akhyar boleh main? Tengah tunggu berita gembira esok lusa ini," jelas Asraf Azhan.

Kali terakhir skuad Sang Penyu berdepan jaguh bola sepak negara itu adalah pada 26 Julai lalu yang menyaksikan mereka mencetak kemenangan 4-0 hasil jaringan hatrik Bergson da Silva dan satu gol daripada Heberty Fernandes.

Persembahan lebih baik sudah tentu akan dipamerkan, terutamanya ketika aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 17 Januari depan yang juga merupakan separuh akhir pertama antara mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram