TERENGGANU FC (TFC) berhasil meraih kemenangan pertama mereka dalam Kumpulan A Piala Shopee selepas memalukan wakil Myanmar, Shan United 5-0 dalam aksi di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar pada Rabu.
Sebelum ini, skuad Peteh gagal meraih kemenangan dalam dua aksi awal kumpulan apabila mengejut 3-2 di tangan kelab Kemboja, Svay Rieng. TFC turut hampa apabila diikat Thanh Hoa 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 25 September 2024.
Meskipun Shan United merupakan penyandang juara Myanmar National League namun TFC berhasil merebut peluang memanfaatkan kekasaran yang dilakukan pemain pasukan itu selepas menjatuhkan Shahrul Nizam.
BACA LAGI: Buru 3 mata, trio lokal jadi taruhan Sang Penyu runtuhkan kubu Shan United
BACA LAGI: Sony Norde kini jumpa kelab baharu, sertai Malut United di Indonesia
Hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sepakan penalti diberikan kepada pasukan pelawat dan ia disudahkan dengan cantik oleh ketua pasukan, Safawi Rasid pada minit ke-11 perlawanan.
Pasukan kendalian Badrul Afzan Razali terus mengukuhkan kedudukan pada babak pertama selepas giliran perancang Sang Peteh, Manuel Ott membelanja gol voli pada minit ke-25 perlawanan.
Menariknya gol itu mirip dengan gol bintang antarabangsa Perancis, Paul Pogba yang kerap melakukan percubaan sedemikian di tepi kotak penalti sama ada ketika bersama Juventus atau Manchester United
Babak pertama ditutup dengan gol ketiga dari Akhyar Rashid menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Penyerang sayap itu berhasil membalas kepercayaan rakan sepasukannya apabila sebelumnya dia dan Safawi sempat melakukan 'o-som' bagi menentukan siapa yang akan mengambil sepakan berkenaan.
Selepas 18 minit permainan separuh kedua berlangsung, gerakan yang mudah dari Akhyar dan menghantar kepada Ott berhasil memberi gol keempat untuk Terengganu, sekali gus menjadi gol kedua pemain import Filipina itu dalam perlawanan berkenaan.
Melalui penguasaan bola yang terus dilakukan oleh skuad Sang Penyu, bahagian serangan Terengganu berhasil mendapatkan gol kelima menerusi jaringan dari Akhyar pada minit ke-70 perlawanan.
Terjahan ke atas Safawi pada minit ke-76 perlawanan memaksa bek tengah Shan United, Zwe Khant Min dibuang padang susulan ia merupakan kad kuning keduanya dalam aksi tersebut.
Keputusan yang berakhir dengan kemenangan besar Terengganu itu membuktikan bahawa penyerang tempatan seperti Akhyar dan Safawi boleh menutup kehilangan tonggak import iaitu Nelson Bonilla, Ismaheel Akinade dan Ivan Mamut.
Selepas ini, Terengganu bakal menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 17 Januari. Shan United pula akan menentang Thitsar Arman pada 12 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram