TIGA penyerang tempatan, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syahmi Zamri menjadi taruhan Terengganu FC (TFC) untuk merobek kubu Shan United FC.
Skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu akan berdepan wakil kelab Myanmar dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala Shopee di Stadium Bola Sepak Thuwunna, Yangon, Myanmar pada Rabu.
Pengendalinya, Badrul Afzan yakin pemain-pemain skuad Sang Penyu sudah bersedia menampilkan aksi terbaik masing-masing bagi memberi saingan kepada Shan's Warriors.
BACA LAGI: Shan United ‘invicible’ di bumi Myanmar, fans optimis TFC masih ada harapan raih 3 mata bermaruah
Terengganu FC menaruh harapan tinggi kepada Safawi Rasid untuk membantu menggerakkan bahagian sayap pasukan. — Facebook/TFC
"Walaupun kami hadir ke Yangon tanpa khidmat tiga penyerang import, Nelson Bonilla, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade, tetapi saya percaya pemain-pemain tempatan sudah bersedia memberikan terbaik.
"Saya akui bahawa pasukan akan menghadapi cabaran besar untuk menjaringkan gol tanpa khidmat penyerang import, apatah lagi bermain di tempat lawan.
"Namun, keupayaan Safawi, Akhyar dan Syahmi tidak boleh dipertikaikan kerana mereka memiliki pengalaman luas di pentas tertinggi," katanya.
Tambah Badrul, bagi posisi penjaga gol, dia dijangka akan memilih antara Mohd Rahadiazli Rahalim atau Syed Mohd Nasrulhaq Syed Bidin untuk menggalas tugas tersebut.
“Walaupun kami berdepan pelbagai cabaran, kami tetap bertekad untuk meraih tiga mata penuh bagi meningkatkan peluang mara ke separuh akhir kejohanan ini," jelasnya,
Anak-anak buah Badrul Afzan kini mengumpul satu mata selepas mengharungi dua perlawanan dengan keputusan seri 2-2 ketika menentang wakil Vietnam, Dong A Thanh Hoa diikuti tewas 2-3 kepada Preah Khan Reach Svay Rieng (Kemboja). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram