JENDELA perpindahan yang sedang rancak berlaku di saingan liga luar negara juga dalam diam melibatkan pemain tanah air apabila mereka dikaitkan dengan penghijrahan ke pasukan baharu.
Antara desas-desus hangat yang singgah di saingan Liga Malaysia (Liga M) pada bulan ini ialah mengaitkan bintang utama Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi apabila dia dikaitkan dengan kelab Iran iaitu Persepolis FC.
Memetik laporan Bartarinha, khabar angin berkenaan mula timbul apabila penganalisis dan jurulatih Persepolis mula mengikuti penyerang sayap kanan kebangsaan itu di laman Instagram dan kemudian berhenti berbuat demikian.
BACA LAGI: 'Kalau pindah takut kena peram', ada fans JDT tak setuju Arif Aiman berkelana ke Iran
BACA LAGI: Jurulatih Persepolis cari pengganti bintang Iran, sedia tebus kontrak Arif Aiman?
Difahamkan, keinginan naib juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 itu untuk membawa masuk Arif Aiman adalah untuk menggantikan khidmat penyerang sayap mereka iaitu Saeid Sadeghi yang akan mencari angin baharu pada musim depan.
Bagaimanapun, ada yang menerima dan terdapat juga penyokong Harimau Selatan kurang menggemari gosip perpindahan susulan masih ingin melihat pemain kebangsaan itu untuk terus mewarnai Liga M.
Bagi pemerhati bola sepak kebangsaan, Prof Madya Dr Zulakbal Karim, Arif Aiman sewajarnya menerima tawaran keemasan itu sekiranya skuad The Reds memang menunjukkan minat untuk menawarkan kontrak kepadanya.
Menurut Zulakbal, bakat dan kemahiran pemain berusia 22 tahun itu tidak lagi berada di tahap Liga M dan sudah saatnya Arif Aiman membawa haluan baharu untuk mengembangkan kariernya.
Arif Aiman dikaitkan dengan Persepolis FC bagi membantu bahagian hadapan kelab itu. — Facebook/JDT
"Saya amat menyokong tindakan ini kerana Persepolis adalah antara kelab yang tertua di Iran dan sudah melahirkan pemain-pemain tahap kelas dunia. Dengan tahap yang ada dekat Persepolis, Arif Aiman akan dapat pendedahan yang baik lagi-lagi dapat rebut kesebelasan utama.
"Berbanding kekal dalam Liga Malaysia yang sudah tiada cabaran untuk dia. Perkara ini juga satu hal yang memberangsangkan apabiila kita dengar bahawa ada kelab sebesar dan sehebat Persopolis mengiktiraf bakat tempatan kita.
"Ia baik untuk masa depan Arif Aiman kerana semakin banyak pengalaman yang dia perolehi di Iran, ia sangat boleh digunakan untuk pasukan Harimau Malaya," katanya kepada Majoriti.
Ditanya jika kehilangan Arif Aiman akan membawa bencana kepada Harimau Selatan, Zulakbal tidak berfikiran sebegitu rupa kerana juara bertahan Liga Super itu mempunyai lambakan pemain berkualiti.
Prof Madya Dr Zulakbal Karim.
Bagaimanapun, tidak dinafikan kualiti yang ada pada Arif Aiman terutama jika dia bertugas di bahagian serangan sayap kanan tidak akan dapat digantikan dengan mana-mana bakat tempatan.
"Saya rasa tiada pemain tempatan yang setaraf dan lebih kurang dengan Arif Aiman tetapi ia tidak akan menjejaskan prestasi JDT jika kehilangannya.
"Saya tak fikir JDT ada masalah sebab mereka ada sekumpulan pemain yang ada dalam senarai. Jadi JDT kena mix and match potential player yang mereka memang sudah ada. Jadi, saya tak fikir ia (kehilangan Arif Aiman akan jadi masalah besar kepada JDT.
"Walaupun ada kekurangan jika kehilangan Arif Aiman namun JDT masih lagi boleh menangani tekanan dalam terutama dalam saingan tempatan," jelasnya.
Sekiranya Arif Aiman dilamar Persepolis, kelab itu perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menebus kontrak Arif Aiman susulan pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak lanjutan sehingga tahun 2028 bersama JDT.
Kontrak tersebut membuatkan kelab-kelab gergasi Asia termasuk dari Korea Selatan mahupun Jepun yang sebelum ini berhasrat memancing bintang Arif Aiman tidak kesampaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram