[VIDEO] Aksi Terbuka Malaysia tergendala, PSM mohon maaf bumbung Axiata Arena bocor


  • Podium
  • Rabu, 08 Jan 2025

Situasi menunjukkan keadaan bumbung Axiata Arena yang bocor menyebabkan dua perlawanan terpaksa ditangguhkan.

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada semua pihak terutamanya pihak penganjur dan peminat badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Insiden berkenaan berlaku menyaksikan aksi saingan pembuka tirai Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berstatus Super 1000 terpaksa dihentikan untuk seketika.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, masalah kebocoran pada bumbung Axiata Arena adalah kerana proses penggantian bumbung lama sejak 1998 kepada yang baru pada pertengahan 2024.

"Proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR dan ia mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.

"Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Iliyas, kebocoran yang berlaku disebabkan air hujan yang menitis dan terkena gelanggang.

Oleh itu, PSM dengan kerjasama kontraktor melaksanakan kerja-kerja segera untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang dan gelanggang boleh digunakan semula pada pukul 8 malam.

Tambahnya lagi, pada malam tersebut, PSM dan kontraktor melaksanakan kerja-kerja untuk memastikan masalah itu tidak berulang pada hari-hari berikutnya.

"PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 kakitangan untuk bersedia selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden ini tidak lagi berulang," kata PSM.

Menurut kenyataan itu, pihak JKR dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja yang bersesuaian dan ianya sedang berjalan.

"PSM telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

"Pihak PSM juga telah mengadakan mesyuarat dengan JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember lalu dan menekankan kepentingan acara tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung ini dan memberi jaminan bahawa pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram