PEMAIN badminton negara, Yap Roy King memasang impian untuk terus kekal beraksi dalam dua kategori iaitu beregu lelaki dan beregu campuran, sama seperti yang dilakukan sebelum ini.
Walaupun memiliki musim yang memberangsangkan dalam kategori beregu lelaki bersama Wan Arif Wan Junaidi, pemain berusia 24 tahun itu percaya dirinya masih memiliki kudrat untuk bersaing dalam beregu campuran.
"Saya memang suka main beregu campuran dan rasa mampu untuk bermain dalam dua kategori. Saya juga masih bersemangat dan boleh menangani perkara ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
BACA LAGI: Zii Jia berpotensi bertemu Shi Yuqi di suku akhir Terbuka Malaysia
Dalam pada itu, Roy King berkata, dia mungkin akan berpasangan dengan pemain lain buat sementara waktu susulan kecederaan lutut Valeree Siow yang terpaksa disisihkan bagi tempoh panjang.
Roy King sebelum ini bergandingan bersama Valeree (kiri).
Bagaimanapun, pemain yang sedang bersiap sedia untuk Terbuka Malaysia 2024 itu mengakui masih belum mengetahui siapakah yang bakal menjadi pasangan sementaranya bagi beregu campuran.
"Saya masih belum pasti siapa pasangan baharu saya, tapi sudah cadangkan beberapa nama kepada jurulatih. Sebab banyak perkara yang perlu dilihat untuk gandingan baharu saya nanti.
"Tapi jurulatih cakap saya akan main dengan pasangan baharu supaya perasaan ketika pertandingan (beregu campuran itu tidak hilang)," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram