BINTANG Liverpool, Mohamed Salah mengakui bahawa rundingan mengenai kontrak baharunya bersama skuad The Reds masih tidak mempunyai perkembangan memberangsangkan meskipun ia akan tamat pada penghujung musim.
Salah berkata demikian selepas penyerang antarabangsa Mesir itu membantu pasukannya membelasah West Ham United 5-0 untuk menjarakkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan lapan mata.
Berdasarkan laporan beberapa minggu kebelakangan ini, mengatakan perjanjian mengenai kontraknya semakin dimuktamadkan namun pemain berusia 32 tahun itu menafikan perkara berkenaan.
BACA LAGI: Salah ikut pesan Haaland, terus 'stay humble' lepas bantu Liverpool kalahkan Leicester
BACA LAGI: Lepas Diogo Jota, bintang Belanda optimis Salah tak salah 'cop mati' bersama Liverpool
"Kami masih jauh dari sebarang persetujuan (mengenai kontrak). Saya tidak mahu berkata sesuatu kepada media dan orang mula bercakap, tetapi tiada apa yang benar-benar berubah.
"Sekarang saya memberikan fokus kepada pasukan dan berharap kami akan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris," katanya memetik temu bual bersama Sky Sport usai kemenangan besar ke atas West Ham.
Untuk rekod, Salah bersama rakan sepasukan Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold akan tamat kontrak pada penghujung musim, bermakna mereka boleh membincangkan perpindahan percuma dengan kelab lain mulai 1 Januari depan.
Dengan berbaki sehari lagi sebelum 2025, ramai penyokong The Reds mula menunggu keputusan dari pihak pengurusan Liverpool mengenai status lanjutan kontrak tiga tonggak utama mereka.
Tangkap layar hantaran dari Sky Sport mengenai kontrak Salah bersama The Reds.
Selain Salah, bek kanan utama Liverpool iaitu Alexander-Arnold juga difahamkan akan berhijrah ke Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Spekulasi berkenaan masa depan Alexander-Arnold yang berada pada tahun terakhir kontraknya di Anfield semakin kuat diperkatakan, dan dia menjelaskan bahawa tidak akan memberikan kenyataan yang akan menghangatkan lagi suasana.
Media Sepanyol, Marca mendakwa Alexander-Arnold mahu menyertai juara 15 kali Kejuaraan Eropah namun sumber dari Liverpool mengatakan tidak ada perjanjian antara kedua-dua kelab. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram