Meletup di peringkat kelab sampai belasah 12-0, ramai pelik bintang kelab Lembah Klang tak sehebat beraksi buat negara


  • Podium
  • Sabtu, 07 Dis 2024

Intan Serah muncul sebagai penjaring terbanyak pada aksi menentang Melaka. — Facebook/FAM

LIGA Wanita Nasional (LWN) 2024 musim ini tidak dinafikan agak suram dalam kalangan penyokong bola sepak arus perdana susulan kepadatan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) lebih banyak mencuri tumpuan.

Bagaimanapun, perlawanan melibatkan Kelana United FC menentang Melaka di Padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dekat Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu menjadi bualan penyokong domestik.

Hal ini kerana, Kelana United yang hadir dengan beberapa pemain kebangsaan seperti Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Lovelytha Jelus membelasah Melaka dengan keputusan 12-0.

BACA LAGI: Bukan hanya Selangor, JDT pernah senasib, antara 3 kelab tersekat di peringkat kumpulan Asia

BACA LAGI: Bukan hanya aksi Buriram, 3 kali kad merah warnai aksi JDT di Asia

Intan Sarah atau lebih dikenali sebagai Intan Serah muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan Lembah Klang berkenaan, apabila berjaya menyumbang sebanyak tujuh gol dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Waitie Taming pula meledak hatrik dan diikuti Lovelytha serta Safura Raihan masing-masing mencetak satu jaringan gol buat pasukan tuan rumah.

Kemenangan besar mengkuhkan lagi kedudukan Kelana United sebagai pendahulu liga apabila kini mereka sudah mengutip 33 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.

Meskipun merekodkan kemenangan besar namun masih ada suara-suara sumbang mengkritik para pemain khususnya tonggak kebangsaan susulan kegagalan skuad bola sepak wanita kebangsaan pada kejohanan Piala Wanita AFF.

"Kalau lah main kebangsaan macam ini," kata penyokong tempatan, Abdul Hadi Mohd Jasadi.

"Bila main negara susah betul nak buat satu gol," tambah penyokong Malayan Tigress, Azroy Azmi.

Namun, Intan Serah yang menjadi nadi Kelana United terlepas untuk mewakili Malaysia selepas namanya terpaksa digugurkan saat akhir susulan ditimpa kecederaan.

Pada November lepas, skuad kendalian Soleen Al-Zoubi kempunan layak ke peringkat separuh akhir Piala Wanita AFF 2024 selepas tewas 0-2 kepada Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan B di Padang Simpanan KM16, Vientiane, Laos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram