Lepas menang Piala Dunia eFIFA, Minbappe selamba berbahasa Melayu ketika ditemu ramah


  • Podium
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Minbappe memastikan Malaysia bergelar juara dunia.

NAMA Ahmad Muhaimin atau lebih dikenali sebagai Minbappe menjadi tumpuan dan kebanggaan rakyat Malaysia selepas berjaya mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Hal ini kerana, Minbappe berjaya meraih gelaran FIFAe World Cup 2024 Ft. eFootball bagi kategori telefon mudah alih selepas menewaskan wakil Maghribi pada Khamis.

Lebih menarik, Minbappe melakukannya dengan bergaya apabila memenangi semua aksi di peringkat kumpulan dan mencatatkan rekod bersih semasa pusingan kalah mati.

BACA LAGI: Tinggalkan jawatan di FC Tokyo, Peter Cklamovski semakin hampir sertai Harimau Malaya?

BACA LAGI: Hanya berlatih di pantai, Timor Leste dah cukup syukur jika dapat seri lawan Harimau Malaya

Walaupun selepas bergelar juara dunia, Minbappe terus menunjukkan identitinya sebagai rakyat Malaysia apabila bertutur dalam bahasa Melayu sewaktu ditemuramah pasca kejohanan.

Temu ramah yang tular di Facebook itu tersebut dijalankan dalam bahasa Inggeris, namun begitu, Minbappe terus menggunakan bahasa kebangsaan untuk menyampaikan komennya terhadap soalan yang diajukan.

"Pertama sekali, syukur ALHAMDULILLAH dapat angkat Piala Dunia untuk Malaysia dan terima kasih kepada semua yang menyokong terutamanya keluarga yang banyak tolong saya, banyak bagi sokongan dan juga rakan seperjuangan saya.

"Terima kasih kepada yang mendoakan kejayaan saya dan saya tak mampu balas jasa baik kalian terhadap saya, saya hanya mampu balas dengan Piala Dunia untuk Malaysia," kata Minbappe.

Minbappe memastikan Malaysia meraih kejuaraan dunia bagi kategori telefon mudah alih sementara Indonesia membawa gelaran serupa untuk kategori konsol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram