PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) bukan hanya memerlukan individu baharu untuk memegang jawatan sebagai presiden, malah perlu ada pembaharuan juga di kerusi setiausaha agung.
Demikian kenyataan legenda jurulatih tanah air, Irfan Bakti Abu Salim ketika mengulas mengenai idea jika pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi presiden FAM.
Bekas jurulatih Terengganu FC (TFC) tidak menafikan bahawa Pemangku Sultan Johor itu sememangnya individu paling sempurna untuk mengemudi pentadbiran badan induk itu, namun beliau masih perlu mencari orang tepat menjadi orang kanannya.
BACA LAGI: TMJ calon sesuai Presiden FAM, kita perlu orang yang ada duit — Irfan Bakti
BACA LAGI: Kisah dah berubah, 3 sebab fans perlu yakin andai TMJ jadi Presiden FAM
Hal ini kerana, jawatan setiausaha agung dalam FAM bukan hanya memainkan peranan di bahagian pentadbiran namun sebagai watak untuk menasihati presiden mengenai pelbagai keputusan penting.
Antara syarat penting untuk menduduki kerusi setiausaha agung ialah individu berkenaan perlu mahir dan cakna mengenai selok-belok bola sepak tanah air dengan Irfan Bakti menjadikan Dell Akbar Khan sebagai contoh.
"Pengalaman saya dulu, orang yang di FAM ini terutamanya setiausaha agung kena tahu bola. Setiausaha agung nak bantu Presiden. Selepas ini kalau TMJ jadi presiden, dia kena latih orang kanan dia bekerja.
"Setiausaha agung kena mahir bola. Macam dulu kita ada Dell Akhbar iaitu bekas permain kebangsaan. Orang-orang begini lebih sesuai ada jawatan dalam bola sepak. Mereka yang akan brief dan tolong presiden," katanya kepada Majoriti.
TMJ disebut-sebut bakal kembali ke FAM untuk menjadi presiden buat kali kedua. — Facebook/FAM
Posisi itu kini diisi Datuk Noor Azman Rahman yang memegang peranan tersebut sejak 2022 dengan pelbagai perubahan dapat dibawanya ketika dia bergandingan bersama Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Meksipun bukanlah figura popular dalam kalangan peminat, sikapnya yang terbuka dalam menjawab kontroversi yang terpalit dengan FAM menjadikannya dikenali sebagai antara individu telus mengenai organisasi terbabit.
Contoh terbaik dapat disaksikan ketika badan induk bola sepak tersebut terlibat dengan isu surat layang yang mencalarkan imej pihak-pihak tertinggi, namun Noor Azman berjaya mengendalikannya dengan tenang.
Noor Azman sebelum ini terpalit isu salah laku. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, di sebalik sikapnya yang terbuka, penyokong masih mengharapkan seseorang lebih proaktif untuk bergelar Setiausaha Agung FAM memandangkan cita-cita besar diletakkan bagi memastikan arena bola sepak negara terus berkembang.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan Tunku Ismail individu tepat untuk kembali mengetuai FAM kerana beliau mempunyai sumber yang tidak terhad yakni kekayaan bagi membangunkan bola sepak susulan untuk dana besar diperlukan untuk membuat revolusi baharu.
Tunku Ismail pernah menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017/2021 sebelum beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya setahun kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram