Undian mudah tak cukup, ekor HM tagih skuad terbaik jika mahu lolos ke Piala Asia 2027


  • Podium
  • Isnin, 09 Dis 2024

Kualiti skuad Piala AFF Harimau Malaya belum di tahap terbaik untuk memberi saingan dalam kempen kelayakan. — Facebook/FAM

LALUAN mudah terhidang buat Harimau Malaya bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila mereka diundi di samping Vietnam, Laos serta Nepal dalam Kumpulan F.

Lawan yang bakal dihadapi itu boleh dikatakan sebaris dengan skuad kebangsaan dari segi prestasi di atas padang, namun pengecualian boleh diberikan kepada Vietnam yang berada dalam kelas tersendiri.

Selain itu, undian yang dibuat pada Isnin tersebut sememangnya melegakan memandangkan Harimau Malaya tidak perlu berdepan negara dari Timur Tengah dan Asia Timur.

BACA LAGI: Dikerjakan Thailand 0-10 jadi 'signal', Timor Leste medan kebangkitan terbaik Harimau Malaya

BACA LAGI: Pau Marti jangka perlawanan sukar, dron ganggu sesi latihan Harimau Malaya

469572095_1285334665873100_9103035032542789635_n

Harimau Malaya jelas bergelut ketika berdepan Kemboja dalam Piala AFF. Facebook/FAM

Ini sekali gus membuka peluang luas buat pasukan negara untuk melayakkan diri ke pertandingan tersebut buat dua edisi berturut-turut dengan kedudukan teratas kumpulan bukanlah sesuatu yang mustahil.

Namun, penyokong masih kurang yakin akan peluang dimiliki Harimau Malaya kerana baru-baru ini, skuad kebangsaan kelihatan bergelut ketika aksi pembukaan Piala AFF berdepan Kemboja.

Bagi mereka, pertembungan terbabit membuktikan standard pasukan negara sudah menurun memandangkan satu ketika dahulu, Harimau Malaya antara yang digeruni di rantau Asia Tenggara.

Jadi, untuk memastikan tiket ke Piala Asia milik skuad kebangsaan, ramai mendesak supaya skuad terbaik diturunkan setiap kali aksi berlangsung.

"Tidak mustahil, tetapi mustahil jika mahu mengharapkan skuad ketika ini. Perlu ada pemain berdarah warisan gred A. Tak apa lah kita ikut cara Indonesia.

469813137_1285881309151769_7368042436695920971_n

Harimau Malaya akan berdepan Vietnam, Nepal dan Laos bagi saingan Kumpulan F. Facebook/FAM

"Mereka bukan setakat Piala Asia yang sudah awal-awal layak, Piala Dunia pun boleh kata ada peluang cerah tu nak layak," kata John Carlostino Lee.

"Nampak macam boleh beri saingan, tetapi kita pun sekarang tak berada dalam prestasi terbaik kerana dengan Kemboja pun tak boleh menang. Semoga ada perubahan positif buat Harimau Malaya," kata Azwan Dee Jamil.

"Kalau ikut undian kumpulan, nampaknya boleh menang. Tetapi, dengan Kemboja hanya seri walaupun bukan skuad terbaik. Itulah standard kita sekiranya tidak memanggil pasukan terbaik," kata Mohd Azrin.

Melihat kepada prestasi semasa Harimau Malaya, terdapat cabaran besar untuk mara dengan mudah, lebih-lebih lagi selepas ketiadaan ketua jurulatih terbaik berikutan pemergian Kim Pan-gon.

Sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyedari situasi itu, kehadiran seorang pengendali berkaliber sudah tentu berada dalam perancangan demi kejayaan skuad kebangsaan.

Selain itu, badan induk bola sepak negara tersebut perlu bertegas untuk memastikan skuad terbaik dapat diturunkan dengan perbincangan bersama pihak kelab wajar dilakukan segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram