HASRAT konglomerat tempatan, Datuk Seri Azizul Tandek untuk mengambil alih Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak membuahkan hasil apabila pihak pengurusan kelab menolak setiap tawaran dibuat.
Dia yang merupakan pengasas dan Pengerusi Eksekutif DSAT Group semestinya kecewa dengan kegagalan itu memandangkan dia beberapa kali membuktikan kebolehannya dari segi kewangan.
Ini termasuk perkongsian di media sosial menceritakan bagaimana terdapat pihak di Timur Tengah yang membuat pelaburan lumayan terhadap syarikatnya dengan ia menunjukkan masalah kewangan KDA FC tidak akan berulang.
BACA LAGI: Lupakan Kedah, DSAT Group boleh mula dari bawah dengan miliki KL Rovers
BACA LAGI: 'See you in court', DSAT mahu saman MB Kedah RM1 bilion?
Pihak pengurusan KDA FC bertindak menolak tawaran dibuat DSAT Group.
Namun, atas beberapa faktor, hasrat usahawan kelahiran Kedah tersebut terus ditolak atas faktor tertentu dengan penyokong juga berpuas hati terhadap kegagalan itu.
Usaha Azizul bagaimanapun tidak tamat di situ kerana baru-baru ini, dia menyatakan perancangan untuk menubuhkan sebuah kelab yang akan bersaing di liga bawahan terlebih dahulu.
Menariknya, pasukan baharu itu akan dikenali sebagai Darul Aman FC dengan ia akan dibangunkan seawal tahun depan dengan terdapat misi menggantikan KDA FC pada masa akan datang.
Katanya lagi, pasukan baharu yang akan ditubuhkannya itu akan memberi fokus kepada pembangunan anak jati negeri bagi menjadi pemain bola sepak berkualiti untuk negara.
Hasrat itu bagaimanapun tidak menerima respons baik daripada penyokong Hijau Kuning dengan ada yang mempersoalkan perancangan tersebut di samping mempertikaikan usahanya.
Azizul Tandek (kanan) masih belum berpuas hati untuk menubuhkan kelab di Kedah.
"Cuba guna nama pekan, contohnya Kokdiang FC. Ini nak juga tumpang nama Darul Aman," kata Fahmi Mohamad.
"Guna nama Hunta Sintok OK juga rasanya, boleh nampak ala-ala Nottingham Forest FC," kata Ikram Mohd Baki.
"Berhentilah membazirkan duit untuk sukan bola sepak ini, tidak ke mana-mana pun," kata Abdul Qadir.
"Buat rugi sahaja, nanti tidak mampu bayar gaji pemain seperti mana sedang berlaku ketika ini," ujar Mikail Ariff.
Selain cuba memperolehi saham majoriti KDA FC, Azizul juga difahamkan cuba menjadi pemilik utama Sabah FC selepas dia dilaporkan bertemu Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, Datuk Seri Ruddy Awah.
Bagaimanapun, seperti usahanya membeli kelab Utara tanah air itu, ia tidak membuahkan hasil selepas pihak pengurusan pasukan berkenaan menolak hasrat Azizul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram