'Tunggakan gaji bukan isu, masih ada yang sudi main dengan Kedah'


  • Podium
  • Rabu, 04 Dis 2024

Masih ada baberapa tonggak sudi bermain demi lencana di dada walaupun isu gaji masih menghantui pasukan itu. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC kini terumbang-ambing selepas satu persatu pemain mereka memilih untuk meninggalkan skuad Hijau Kuning dan menyertai pasukan baharu dek perlu meneruskan kelangsungan hidup.

Pada jendela perpindahan kedua Liga Super Ogos lalu, tiga pemain Sang Kenari telah membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan Utara tanah air itu susulan isu tunggakan gaji yang tidak berkesudahan.

Ketua pasukan, Habib Haroon membawa haluan ke Bahrain dengan menyertai Sitra SC selepas mencapai persetujuan dengan KDA FC untuk menamatkan kontrak lebih awal pada September lepas.

BACA LAGI: Jumpa Kedah waktu petang hari bekerja, ekor TBG sudah letak harapan buat warga Manjung

BACA LAGI: Sebak lihat Sony, Nafuzi tinggalkan Kedah, Milos Gordic luah kebimbangan bersama Sang Kenari

Setelah dua pemain itu, penjaga gol meningkat naik, Fikri Che Soh pula memilih untuk membawa haluan ke Kelantan Darul Naim (KDN) FC, manakala Kalamullah Al-Hafiz menyertai seteru hebat Liga Super, Selangor FC.

Terbaharu, tonggak utama mereka iaitu Sony Norde turut mengundur diri dari pasukan untuk menyertai pasukan baharu selepas lapan hari ketua jurulatihnya Nafuzi Zain juga melepaskan jawatan secara tiba-tiba.

Nasib menimpa Kedah itu sudah dijangka susulan tiada perubahan berlaku kepada kewangan Sang Kenari apabila sehingga kini, masih tiada sebarang penaja utama sudi untuk memberi talian hayat kepada Hijau Kuning.

Meskipun ramai pemain memilih untuk meninggalkan skuad Hijau Kuning namun masih ada beberapa tonggak sudi bermain demi lencana di dada walaupun isu gaji masih menghantui pasukan itu.

sony sony

Aksi di Stadium Cheras merupakan penampilan terakhir buat Sony Norde. Facebook/KDA FC

"Tak semua. Ada yang dah perbaharui kontrak, masih ada yang sudi main dengan Kedah," kata sumber Majoriti secara ringkas mengenai perkembangan semasa skuad Hijau Kuning itu.

Meskipun tiada nama didedahkan namun kesudian beberapa pemain itu wajar mendapat penghormatan dari pihak pengurusan dan perlu segera mencari solusi kewangan untuk membalas kembali pengorbanan mereka.

Dalam pada itu, ura-ura ramai pemain akan meninggalkan Kedah sudah lama didengari apabila sebelum ini terdapat pemain membuat keputusan memboikot perlawanan ketika KDA FC berjaya menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-2 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Miroslav Kuljanac menyingkirkan juara lima kali itu 6-4 secara agregat selepas membelasah Sang Kenari 4-1 pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada 1 Disember lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram