Penyokong Perak FC sambut baik kepulangan Lee Tae-min ke Korea Selatan


  • Podium
  • Isnin, 02 Dis 2024

Tae-min meraikan jaringan terakhirnya bersama Perak FC.

PEMAIN sayap Korea Selatan, Lee Tae-min mengucapkan selamat tinggal kepada Perak FC.

Ini selepas satu video yang dimuat naik pihak pengurusan The Bos Gaurus yang mengucapkan terima kasih kepadanya sepanjang bersama pasukan itu.

Ini menjadikan aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 30 November lalu sebagai aksi terakhir Tae-min.

BACA LAGI: Kata-kata Jeonbuk Hyundai beri Selangor harapan layak pusingan kalah mati ACL 2

BACA LAGI: 'Harap musim depan Safuwan jadi striker', fans Selangor FC penat aksi longlai pemain import

Tae-min mengakui bukan mudah untuk meninggalkan Perak kerana dia telah menimba banyak pengalaman bersama pasukan itu.

Atas sebab itu, dia menghargai sokongan semua pihak terutama penyokong sepanjang bersama The Bos Gaurus.

"Pertama sekali, saya menghargai sokongan semua orang. (Sejak) saya datang ke sini (Perak), saya mendapat banyak pengalaman (berharga bersama pasukan)."

Bekas pemain Busan IPark itu memastikan aksi terakhirnya bersama Perak berakhir dengan senyuman.

Ini selepas Perak mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2024/25.

Selepas menewaskan Kelantan DN 3-0 di Stadium MBPJ pada 22 November lalu, Perak meraih kemenangan 3-1 ke atas pelawat. Clayton, Wan Zack Haikal dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin mencetak nama sebagai penjaring.

Namun penyokong turut menyambut baik pemergian Tae-min kerana kualiti dimiliki import berusia 21 tahun itu dianggap setaraf pemain tempatan.

"Bila Perak menang pemain import kualiti setaraf tempatan ini pun dapat pujian, cuba bila Perak kalah mesti berbakul Tae-min kena herdik," kata Amirul Azryn Halid.

"Eloklah dia balik Korea, masih lagi cedera. Cuba ambil yang lain, lagi pun kontrak dah nak tamat," jelas Tok Adi.

"Bagus selepas ini cari penyerang dari Thailand atau Indonesia pula," ujar Kamarulzaman Aziz.

Ketiadaan Tae-min menyaksikan Perak kini memiliki tujuh pemain import iaitu Clayton, Luciano Guaycochea, Sunday Afolabi, Jesper Nyholm, Luiz Fernando Motta, Luka Milunovic dan Kanyebekov. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram